Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aduan ke atas kontraktor renovasi naik hampir seganda pada 2021

Masalah kurang tenaga kerja, bahan mentah adalah punca
Feb 1, 2022 | 5:30 AM
7b8e5e28-4743-4b9c-8d81-7ef71d478d42
-

JUMLAH aduan yang dibuat terhadap kontraktor kerja ubah suai meningkat hampir seganda tahun lalu, dengan hampir satu daripada dua aduan itu adalah mengenai projek yang tidak diselesaikan mengikuti jadual dan kerja yang tidak memuaskan.

Tahun lalu, industri itu menerima 1,300 aduan, naik daripada 869 pada 2020, kata Persatuan Pengguna Singapura (Case).

Kenaikan itu adalah disebabkan masalah kekurangan tenaga kerja dan bahan mentah yang berpanjangan dek sekatan sempadan Covid-19 yang berterusan, serta permintaan bagi kerja ubahsuai rumah dalam pasaran hartanah kediaman pada tahun lalu.

Dalam perangkaan aduan pengguna tahunan yang dikeluarkan semalam, Case juga berkata ia melihat kemerosotan besar dalam jumlah aduan terhadap industri pelancongan dan juga industri perubatan dan barang perubatan yang diguna habis (medical consumable).

Aduan terhadap industri pelancongan turun daripada 1,800 pada 2020 kepada 673 tahun lalu, dengan sebahagian besar aduan adalah mengenai pembayaran balik bagi penerbangan atau pakej lawatan berpandu yang dibatalkan atau ditunda disebabkan Covid-19.

Terdapat 18 aduan yang berkaitan dengan tempahan penerbangan dan tiket bas di bawah Laluan Perjalanan bagi yang Sudah Menjalani Vaksinasi (VTL).

Kebanyakan aduan ini berkaitan tempahan penerbangan yang diubah dan masalah kuarantin.

Aduan terhadap industri perubatan dan penjual barang perubatan yang diguna habis melihat kemerosotan 67 peratus, daripada 1, 256 aduan pada 2020 kepada 469 aduan tahun lalu.

Penurunan aduan dalam kedua-dua industri pelancongan dan perubatan, serta barang perubatan yang diguna habis sebahagian besarnya menyumbang kepada kemerosotan 15 peratus dalam jumlah aduan keseluruhan yang diterima Case tahun lalu berbanding 2020.

Pada tahun lalu, ia menerima 15,515 aduan, manakala pada 2020, ia mendapat 18,335 aduan.

Daripada aduan yang diterima tahun lalu, Case membantu 2,069 kes, atau sekitar 13 peratus daripadanya. Daripada jumlah itu, sekitar 65 peratus - atau 1,412 kes - berjaya diselesaikan, dengan $2 juta dalam bentuk wang tunai dan barang diperolehi semula untuk pengguna.

Case berkata pengguna dalam 13,446 kes lain tidak memerlukan bantuan langsung persatuan itu dan mengambil tindakan susulan dengan perniagaan tersebut sendiri.

Presiden Case, Encik Melvin Yong, berkata komposisi aduan pengguna juga telah kembali ke paras sebelum pandemik Covid-19.

Ini satu "tanda awal bahawa tingkah laku dan tabiat pembelian pengguna di Singapura telah menjadi stabil kepada paras sebelum pandemik", tambah beliau.

Aduan terhadap industri kecantikan menduduki tempat teratas tahun lalu, dan membentuk hampir satu daripada 10 aduan yang diterima.

Sekitar seperempat aduan terhadap spa dan salon kecantikan adalah berkaitan taktik penjualan memaksa dan dakwaan yang mengelirukan.

Aduan mengenai taktik penjualan memaksa termasuk salon kecantikan tidak membenarkan pengguna meninggalkan premis melainkan mereka membeli pakej kecantikan dan melakukan rawatan ke atas pengguna tanpa kebenaran mereka dan mengenakan bayaran selepas itu.

Dakwaan mengelirukan termasuk salon kecantikan memperdaya pengguna mengenai jumlah sesi dalam pakej dan bagaimana sesetengah rawatan boleh menyembuhkan atau mengurangkan masalah kesihatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg