Beberapa agensi pelancongan menyatakan mereka akan tetap meneruskan perjalanan untuk membawa jemaah menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci dalam tempoh dua minggu akan datang pada Oktober.

Ia kerana buat masa ini, tiada sebarang pembatalan penerbangan daripada pihak syarikat penerbangan memandangkan ruang udara di Arab Saudi juga masih dibuka.

Hal tersebut berlaku walaupun panduan nasihat telah dikeluarkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang menggalakkan agar rancangan perjalanan jemaah umrah ditangguhkan susulan peningkatan risiko keselamatan di Saudi.

Berkongsi kepada Berita Harian (BH), Pengarah Noor Mohamad Services & Travel, Ustazah Juyda Noor Muhammad, berkata agensi itu akan berangkat pada malam 14 Oktober, bagi membawa jemaah untuk menunaikan ibadah umrah.

Mereka akan mendarat di Jeddah dengan menaiki pesawat Saudia Airlines.

“Bagi Oktober, kami hanya ada satu penerbangan sahaja iaitu malam 14 Oktober bersama Saudia Airlines. Sehingga kini, penerbangan Saudi Airlines bagi destinasi di Jeddah tetap berjalan seperti biasa.

“Bagi November pula, kami hanya akan berangkat pada akhir November dan setakat ini, tiada jemaah yang tarik diri.

“Sekiranya ada penutupan ruang udara Saudi, maka pembatalan perlu dilakukan.

“Namun, jika ia masih terbuka dan kesemua penerbangan kami melalui Saudia Airlines tidak dibatalkan, maka perjalanan akan diteruskan,” kata beliau.

Dalam satu kenyataan pada 14 Oktober, MUIS telah menasihatkan rakyat Singapura supaya mematuhi nasihat perjalanan yang dikeluarkan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 13 Oktober.

Nasihat itu mengesyorkan agar semua perjalanan ke negara Timur Tengah itu ditangguhkan selepas peningkatan serangan peluru berpandu dan dron di sana.

Bagi Jalaluddin Travel and Services (JTS), jemaah umrah mereka dijadualkan berangkat pada 15 Oktober dan akan mendarat di Madinah melalui Doha, Qatar.

Berikutan panduan nasihat MUIS yang telah dikeluarkan, pihak JTS telah berhubung dengan syarikat penerbangan, Qatar Airways, untuk mengesahkan status penerbangan yang terkini.

Justeru, tiada sebarang pembatalan bagi penerbangan dan perjalanan dapat diteruskan seperti yang dirancang.

“Kami hubungi pihak Qatar Airways dan telah pastikan bahawa tiada sebarang pembatalan penerbangan.

“Kami juga sudah mendapatkan kemas kini oleh pegawai di Makkah dan Madinah tentang keadaan semasa dan setakat ini, alhamdulillah, semuanya masih dalam keadaan baik dan tenang.

“Maka itu, kumpulan jemaah akan berangkat pada 15 Oktober seperti yang dirancang,” kata Pengarah JTS, Cik Noor Faizah Mustaffa.

Situasi yang sama turut dilakukan Shahidah Travel and Tours yang bakal membawa rombongan jemaah umrah pada 22 Oktober.

Justeru, menurut Pengarah Urusan agensi itu, Encik Ayoob Angulia, seramai 18 anggota jemaah yang bakal berangkat pada tarikh itu telah sebulat suara mahu meneruskan perjalanan ke Tanah Suci.

“Kami juga telah berhubung dengan pihak penerbangan dan hotel di Tanah Suci, mereka mengesahkan bahawa semuanya baik-baik sahaja dan boleh diteruskan dengan lancar.

“Malah, jemaah Shahidah yang kini sedang melakukan umrah di sana berada dalam keadaan baik-baik sahaja.

“Ini turut memberi keyakinan bagi jemaah yang dijadualkan berangkat pada 22 Oktober untuk teruskan perjalanan mereka,” jelas Encik Ayoob.

Dalam pada itu, kesemua agensi pelancongan tersebut tekad untuk mengambil beberapa langkah tambahan demi memastikan keselamatan jemaah.

Contohnya, Shahidah Travel and Tours akan menyediakan latihan kecemasan bagi pegawainya menjelang hari keberangkatan.

Latihan tersebut diadakan demi memastikan pegawai dapat bersiap sedia dalam mengurus jemaah sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Pada masa sama, agensi itu juga telah melantik seorang pegawai untuk sentiasa berhubung dengan pihak keluarga jemaah bagi memberi mereka kemas kini berkenaan situasi semasa dan kesejahteraan ahli keluarga mereka yang sedang melaksanakan umrah.

Bagi Noor Mohamad Services & Travel, Ustazah Juyda berkata pihaknya akan sentiasa berhubung dengan pihak Konsulat Jeneral Singapura di Jeddah untuk mendapatkan perkembangan tentang situasi terkini.

Menurut beliau yang juga Setiausaha Kehormat, Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), kesemua agensi di bawah naungan badan itu akan terus berkomunikasi untuk memberi maklumat dan perkembangan tentang agensi masing-masing.

“Kami sentiasa memantau keadaan di Arab Saudi dan bekerja rapat dengan Konsulat Jeneral Singapura di Jeddah tentang perkara yang sedang berlaku sekarang.

“Apa-apa pun, keselamatan dan kesejahteraan jemaah sudah pasti menjadi keutamaan kami.

“Di peringkat Amtas, kami akan kekalkan komunikasi sesama agensi untuk mendapatkan perkembangan dan maklumat terkini bagi setiap agensi,” kata Ustazah Juyda.