PENGAGIHAN alat jejak kontak TraceTogether (TT) akan diperluaskan secara bertahap ke sekitar 100 kawasan di serata Singapura menerusi stesen pengagihan bergerak di pusat beli-belah dan kelab masyarakat. Sehingga kini, lebih 100,000 alat TT telah diagih sejak program pengagihan serata negara itu dilancarkan di 20 kelab masyarakat di kawasan Jalan Besar dan Tanjong Pagar sejak 14 September lalu, menurut Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG) pada Ahad (4 Okt). Kemudahan pengagihan mudah alih itu akan ditempatkan di pusat beli-belah tempatan dan 18 kelab masyarakat di kawasan Ang Mo Kio, Bishan, Toa Payoh dan Sengkang. Jadual terperinci bagi stesen pengagihan tersebut boleh dirujuk menerusi laman TokenGoWhere. Program TT bertujuan membantu usaha jejak kontak dengan mengenal pasti token berhampiran atau telefon bimbit yang mempunyai aplikasi itu, sekali gus membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti kontak rapat bagi seseorang yang menghidap jangkitan, jika perlu. Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Dr Janil Puthucheary, yang hadir sewaktu pengagihan di sebuah stesen pengagihan token TT di Bedok Mall pada Ahad mengulangi peri pentingnya lebih ramai orang menyertai program tersebut, dengan sasaran 70 peratus penduduk Singapura menggunakan kemudahan TraceTogether.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg