YANG di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, serta Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, selamat sampai ke Singapura bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari hingga Khamis ini.
Lawatan Negara itu adalah atas undangan Presiden Halimah Yacob.
Ketibaan Sultan Abdullah disambut oleh Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing; dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.
Dalam perkongsiannya di laman Facebook, Encik Chan berkata Singapura dan Malaysia berkongsi hubungan yang lama terjalin, selain pelbagai aspek kerjasama yang disokong oleh hubungan rapat antara pemimpin dan rakyat.
"Kami mengalu-alukan perbincangan perkembangan serantau dan peluang untuk terus bekerjasama antara Singapura dan Malaysia,'' kata Encik Chan.
Menurut kenyataan Kementerian Luar (MFA), Sultan Abdullah akan menerima sambutan adat istiadat di Istana hari ini, dan bakal menemui Presiden Halimah.
Baginda dan Raja Permaisuri akan menghadiri upacara penamaan hibrid orkid baru, Dendrobium Queen Azizah of Malaysia, yang dinamakan sempena lawatan mereka.
Sultan Abdullah juga dijadualkan bertemu dengan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong dan isteri.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg