Topik diikuti
Pergi ke BHkuAhli ekonomi bukan sekadar angka, dapat sumbang kepada dasar negara
Ahli ekonomi bukan sekadar angka, dapat sumbang kepada dasar negara
Apabila sebut tentang peranan seorang ahli ekonomi, ramai mungkin cenderung mengaitkan mereka sebagai individu yang terlatih untuk mengumpulkan statistik mengenai Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), inflasi atau meramalkan trend pasaran pada masa hadapan.
Namun, kurang yang mengetahui bahawa peranan ahli ekonomi merangkumi lebih daripada bidang makroekonomi, malah turut melibatkan bidang yang lebih bersifat sosial seperti mobiliti sosial dan ketidaksamaan.
Bagi Cik Afiqah Nur Fitri Suhaiemi, 33 tahun, minatnya dalam bidang ekonomi berputik seawal di bangku maktab rendah lagi.
Beliau kemudian membuat keputusan untuk mendalami pengajian dalam bidang sama di Universiti Nasional Singapura (NUS), meskipun pernah menimbangkan kemungkinan mengikuti jurusan kewartawanan di Sekolah Komunikasi dan Maklumat Wee Kim Wee (WKWSCI) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Cik Afiqah sedar beliau dapat menyumbang kepada dasar pemerintah sebagai ahli ekonomi dan berpeluang mengambil bahagian dalam pengiraan menyeluruh pertama Singapura mengenai jumlah golongan gelandangan pada 2022.
“Saya amat bersyukur kerana berpeluang mengusahakan projek ini kerana ia memberikan pengalaman yang sangat berbeza daripada apa yang mungkin dilalui pegawai lain dalam Perkhidmatan Ahli Ekonomi (ES).
“Bukan sekadar menjalankan tinjauan itu sendiri, malah semasa membuat persiapan, saya berpeluang bekerja rapat dengan penasihat akademik serta rakan-rakan daripada bahagian dasar dan operasi yang bekerjasama dengan mereka yang berada di lapangan.
“Saya juga berpeluang bekerjasama dengan kumpulan sukarelawan yang telah berjalan kaki di kawasan-kawasan tertentu secara berkala,” kongsi Cik Afiqah, ibu dua anak berusia lima dan tiga tahun.
Beliau merupakan pegawai ES sejak 2017, satu skim di bawah Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI), yang menempatkan pegawai di pelbagai kementerian dan agensi pemerintah untuk mengendalikan dasar berlainan berkaitan isu ekonomi, sosial, prasarana serta alam sekitar.
Justeru, beliau telah berkhidmat di METI (sebelum ini Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI)) dari 2017 hingga 2020, sebelum ditempatkan di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dari 2020 hingga 2025.
Selaku mantan ketua ahli ekonomi di MSF, Cik Afiqah berkata latar belakangnya dalam bidang ekonomi membolehkannya mengoptimumkan logistik kompleks bagi operasi yang melibatkan lebih 800 sukarelawan, selain menyusun dan memperhalusi soalan tinjauan bagi memastikan kualiti data yang lebih baik.
Kajian bilangan gelandangan pada 11 November 2022 yang dijalankan oleh MSF menemui seramai 530 orang gelandangan, iaitu penurunan ketara berbanding 921 orang pada 2019.
Kajian satu malam ini dibantu oleh 860 sukarelawan daripada Rangkaian Rakan Kerja Mendekati dan Memperkasa Gelandangan (Peers), ahli akademik, dan orang awam, dengan penasihat akademik daripada NUS/Yale-NUS dan Institut Pengajian Dasar (IPS).
Hasil tinjauan mendapati kesukaran utama yang dihadapi oleh gelandangan termasuk masalah mendapatkan dan mengekalkan tempat tinggal yang stabil, perselisihan faham dengan keluarga atau rakan rumah, serta pendapatan tidak tetap atau bebanan hutang.
Cik Afiqah kini sedang melanjutkan pengajian PhD dalam bidang Ekonomi di NUS, dan berkongsi akan kembali ke METI sejurus selesai pengajian dalam beberapa tahun ini.
Beliau menggalakkan mereka yang berminat menggunakan analisis data untuk menangani cabaran berkaitan masyarakat dan kebajikan sosial supaya mempertimbangkan untuk menyertai ES, yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-25 pada 30 September.
“Saya ingin katakan kepada orang ramai, jika anda berhasrat untuk berbakti semula kepada masyarakat, dan benar-benar berminat untuk mempengaruhi dasar atau melibatkan diri dalam perbincangan dasar yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat, dan jika anda mahukan sesuatu yang sedikit lebih teknikal, anda patut pertimbangkan ES,” kata Cik Afiqah.