Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AHTC naikkan bayaran perkhidmatan dan penyenggaraan mulai 1 Okt

Aug 1, 2023 | 6:21 PM
HARGA BAYARAN MENINGKAT: Menurut AHTC dalam suratnya kepada penduduk, bayaran S&CC perlu dinaikkan disebabkan tekanan kos serta inflasi tinggi.
HARGA BAYARAN MENINGKAT: Menurut AHTC dalam suratnya kepada penduduk, bayaran S&CC perlu dinaikkan disebabkan tekanan kos serta inflasi tinggi. - Foto ST

Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) akan meningkatkan bayaran bagi Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) bagi penduduk dan penyewa dalam perbandaran itu sebanyak dua kali dalam setahun, dengan kenaikan pertama berkuatkuasa 1 Oktober ini.

Dalam surat yang dihantar kepada penduduk, AHTC berkata, ia meningkatkan bayaran tersebut disebabkan inflasi dan kos pengendalian yang tinggi, lapor akhbar The Straits Times.

Kali terakhir ia meningkatkan bayaran S&CC adalah pada 2018.

Majlis Bandaran yang dikendalikan Parti Pekerja (WP) itu berkata ia akan menghantar notis kepada semua penduduk dan penyewa bagi memberikan butiran lanjut mengenai peningkatan tersebut.

Mereka yang menghadapi kesukaran dalam membuat bayaran S&CC bulanan boleh menghubungi Anggota Parlimen (AP) kawasan undi mereka atau pejabat AHTC untuk mendapatkan bantuan, katanya.

Pengumuman AHTC itu dibuat susulan pengumuman majlis bandaran di bawah kendalian PAP bahawa ia akan meningkatkan bayaran S&CC bagi penduduk mulai 1 Julai.

Fasa seterusnya bagi peningkatan bayaran S&CC bagi kedua-dua AHTC dan majlis bandaran PAP adalah pada 1 Julai 2024.

Dalam suratnya, AHTC berkata ia kini menghadapi tekanan kos sejak peningkatan S&CC kali terakhir pada 2018.

Ia menambah, inflasi mencatatkan rekod tertinggi dalam tempoh 14 tahun pada Januari 2023 sementara kos pembersihan serta penyelenggaraan telah meningkat tinggi disebabkan tarif elektrik yang meningkat, pertumbuhan gaji pekerja dan cabaran rantaian bekalan.

Kos berkaitan lif turut meningkat, dan majlis bandaran itu berkata Aljunied-Hougang merupakan estet perumahan matang dengan banyak flat yang telah dibina lebih 30 tahun lalu.

Dengan kebanyakan blok lama menjalani Program Peningkatan Lif, kini terdapat lebih banyak lif di sekitar kawasan itu, dan ini menambah kepada kos penyenggaraan lif, tambahnya.

Pelbagai kerja lain bakal dijalankan pada tahun-tahun akan datang, termasuk peningkatan sistem elektrik, projek paip air, pembaharuan bumbung, dan kerja-kerja pembaikan lain.

Selain itu, sebanyak 990 lif bakal menjalani Program Peningkatan Lif di bandar itu.

“Dengan inflasi tinggi dan tekanan kos, AHTC akan terus meninjau daya usaha baru untuk berjimat.

“Meskipun demikian, jurang yang dihadapi AHTC dalam memastikan ia kekal berkeupayaan dari segi kewangan dan fiskal untuk menjalankan kerja-kerja yang diperlukan pada tahun-tahun akan datang boleh dirapatkan hanya dengan peningkatan pada bayaran S&CC,” katanya.

AHTC menambah ia berharap penduduk dan penyewa dapat memahami keperluan untuk meningkatkan bayaran S&CC.

Pada 1 Jun, majlis bandaran di bawah PAP mengumumkan bahawa bayaran S&CC bakal naik bagi penduduk HDB, kedai, pejabat, pasar dan kedai makanan disebabkan kos meningkat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg