Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aidiladha penguat syiar bagi madrasah setempat

Jun 14, 2024 | 5:30 AM
Madrasah Wak Tanjong bakal mengadakan solat sunat Aidiladha pada 17 Jun, dan orang ramai dipersilakan hadir.
Madrasah Wak Tanjong bakal mengadakan solat sunat Aidiladha pada 17 Jun, dan orang ramai dipersilakan hadir. - Foto MADRASAH WAK TANJONG AL-ISLAMIAH

USTAZAH MASNIA NASSIM

Beberapa hari lagi umat Islam yang kini berkumpul di Makkah akan melaksanakan kemuncak ibadah haji iaitu wukuf di Arafah . Pada 9 Zulhijah,  jemaah haji akan berhimpun beramai-ramai dari zuhur hingga maghrib di Arafah sebagai rukun utama dalam manasik haji.  

Bagi kita yang tidak berpeluang menunaikan haji, disunatkan berpuasa pada hari  tersebut yang dikenali dengan puasa Arafah  yang ganjarannya amat besar sekali. Sebagaimana sabda Rasulullah saw apabila ditanya tentang puasa Arafah seperti yang diriwayatkan dalam hadis Muslim: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang.” 

Begitu besarnya ganjaran yang dijanjikan, maka sebaik-baiknya  kita merebut peluang yang datang hanya setahun sekali ini dengan berpuasa sunat selain melaksanakan ibadah korban bagi yang berkemampuan. 

Selepas berbuka dan solat maghrib pula, kita disunatkan bertakbir sebagai tanda tibanya Hari Raya Aidiladha. Takbir pada Aidiladha ini pula lebih istimewa kerana tidak seperti takbir Hari Raya Aidilfitri yang hanya disunahkan pada malam dan pagi Hari Raya, takbir Aidiladha boleh dilakukan dari malam Hari Raya iaitu bermulanya 10 Zulhijah sehingga tamatnya hari tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijah setiap selesai solat fardu.

Ia sebagai tanda mengagungkan Allah atas nikmat yang telah diberikan dan sebagai tanda hari perayaan umat Islam.  Sepanjang empat hari itu juga iaitu 10 hingga 13 Zulhijjah ibadah  korban sama ada kambing, lembu atau unta boleh dijalankan. Ia juga merupakan syiar Islam dan bagi yang berkorban ia sebagai tanda kesediaan membelanjakan sedikit hartanya untuk dimanfaatkan oleh golongan yang memerlukan dan dalam waktu yang sama mendekatkan diri kepada Allah. 

Marilah sama-sama kita menghidupkan sunah Islam ini dalam kehidupan harian kita agar menjadi Muslim yang lebih baik. Bagi solat sunat Aidiladha tahun ini, Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah akan menganjurkannya pada Isnin, 17 Jun bersamaan 10 Zulhijah di dewan serba guna madrasah. Kaum Muslimin dan Muslimat yang berkesempatan dipersilakan hadir. 

HULUR SUMBANGAN

Untuk sumbangan kepada Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, anda boleh membantu dengan cara berikut:

1. PayNow: UEN S55MM0002D.

2. Penghantaran cek atas nama ‘MADRASAH WAK TANJONG AL-ISLAMIAH’.

3. Melalui pembayaran secara Nets dan tunai di pejabat madrasah di 589 Sims Avenue Singapura 387600.

4. Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Madrasah Wak Tanjong di talian 6741-0131.

Penulis merupakan mudirah di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg