Ada orang telah menggunakan akaun milik ahli yang telah meninggal dunia untuk memasuki kolam renang dan gimnasium ActiveSG, kata Pejabat Ketua Audit Negara (AGO) pada Rabu 17 Julai.
Menurut laporan audit AGO, seramai 18 akaun ahli yang meninggal dunia telah 283 kali digunakan untuk masuk kemudahan seperti ini. Ahli-ahli ini, yang akaun mereka digunakan, telah meninggal – “ada hingga 4.8 pada 2023” sebelum tarikh kemasukan, kata laporan itu.
Daripada 18 akaun itu, satu akaun telah disalahgunakan untuk masuk 201 kali.
Kemudahan sukan ActiveSG ada di seluruh Singapura dan keahlian adalah percuma untuk warga Singapura dan penduduk tetap. Pengguna boleh menempah kemudahan, seperti gelanggang badminton, atau membeli pas untuk memasuki kolam renang dan gimnasium.
Sebagai sebahagian audit tahunannya, AGO menjalankan analisis data dan ujian semakan ke atas rekod kemasukan kolam renang dan gimnasium kumpulan ActiveSG dari 1 Julai 2022 hingga 30 Jun 2023.
Ia mendapati pas ahli ActiveSG telah disalahgunakan. Di bawah termanya, pas ahli tidak dibenarkan dipindahkan kepada ahli lain.
Tetapi AGO menemui bukti ada ahli yang berkongsi pas mereka dengan orang lain untuk masuk ke kemudahan-kemudahannya.
Ada juga ahli didapati telah menggunakan pas khas ActiveSG, atau pas dengan kadar diskaun bagi setiap kemasukan, untuk memasuki kompleks renang atau gimnasium walaupun mereka tidak layak.
Menurut AGO, pemerhatian ini menunjukkan bahawa kawalan ke atas kemasukan ke kolam renang dan gimnasium ActiveSG tidak mencukupi, sambil menambah bahawa kelemahan kawalan tersebut akan mengakibatkan “kebocoran hasil” bagi Majlis Sukan Singapura (SportSG).
SportSG mengutip $8.13 juta dalam yuran kemasukan untuk kolam renang dan gimnasium ActiveSG bagi tahun kewangan 2022/2023.
Pengguna ActiveSG boleh membeli pas bulanan untuk lawatan tanpa had ke kolam renang dan gimnasium, dengan kadar konsesi bagi pelajar dan warga emas.
AGO mendapati 1,860 kemasukan ke gim dan kolam ActiveSG dengan pas milik 339 akaun ahli dikongsi.
Bagi 1,834 kemasukan, ahli menggunakan pas mereka untuk masuk ke kolam renang atau gimnasium ActiveSG sedangkan akaun mereka secara serentak digunakan untuk kemasukan lain di kemudahan yang sama atau berbeza.
Bagi baki 26 kemasukan, selang antara masa keluar di kemudahan di satu pusat sukan dengan masa masuk di kemudahan lain adalah “terlalu pendek” – antara tiga saat dengan lima minit – menunjukkan bahawa pas itu tidak mungkin digunakan oleh ahli yang sama.
“Jumlah sebenar kes ahli menyalahgunakan pas tidak boleh dipindah milik mereka mungkin lebih tinggi apabila kemungkinan pas dikongsi pada hari berbeza dipertimbangkan,” kata AGO.
Dalam laporannya, AGO berkata 22,618 kemasukan telah dibuat oleh ahli menggunakan pas khas kolam renang atau gimnasium ActiveSG, atau pas khas gimnasium atau pas sekali-masuk yang dibeli pada kadar diskaun yang mereka tidak layak kerana mereka sama ada tidak memenuhi kriteria umur atau bukan ahli ActiveSG yang disahkan.
Majoriti kemasukan itu – 20,582 kemasukan – dibuat oleh 2,563 ahli yang menyalahgunakan faedah kemasukan percuma untuk warga emas berumur 65 tahun ke atas, kata laporan AGO.
AGO berkata bahawa SportSG mengakui batasan dalam sistem sedia ada, sambil menambah bahawa ia akan meletakkan perlindungan dalam sistem MyActiveSG+ barunya untuk meminimumkan kejadian sedemikian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg