Sejak 30 Jun lalu, pembaca Berita Minggu (BM) pasti telah melihat pembaharuan kepada edisi Ahad akhbar ini, khususnya daripada reka letak halaman satu BM.
Reka letak yang lebih menarik dengan penggunaan visual dan elemen grafik itu bertujuan mengajak pembaca agar meneliti terus laporan khas yang disiapkan wartawan-wartawan kami.
Ia sebahagian daripada usaha transformasi akhbar ini untuk mempertingkat semua aspek, termasuk mengetengahkan kandungan khusus buat pembaca edisi cetak.
Menjelaskan lanjut, Editor Berita Harian, Encik Nazry Mokhtar, berkata langkah itu sejajar dengan pelan transformasi akhbar ini untuk menghasilkan kandungan lebih bermutu dengan reka bentuk lebih menarik untuk memikat pembaca.
Reka bentuk baru itu juga bertujuan memastikan akhbar BM menyerlah di tengah-tengah susunan akhbar lain di rak-rak surat khabar di serata negara.
Jumlah akhbar BM yang dibeli pembaca secara langsung dari rak-rak akhbar di kedai adalah lebih tinggi daripada akhbar Berita Harian (BH) pada hari-hari biasa.
“Landskap media hari ini amat kompetitif dan kami sentiasa berlumba-lumba untuk menarik perhatian pembaca dan audiens kami.
“Ini boleh dilakukan menerusi paparan laporan khas dalam reka bentuk menarik.
“Bagi BM khususnya, sebahagian besar pembaca membeli akhbar ini dari rak-rak surat khabar, justeru paling penting ialah untuk menarik perhatian mereka secara visual,” ujar beliau.
Encik Nazry menambah, di bawah transformasi BH, akhbar ini telah menggembleng daya kreativiti dan tenaga setiap jabatan seperti seksyen berita dan media sosial untuk menghasilkan laporan khas dalam bentuk berbilang media.
Malah, salah satu laporan tersebut mengenai Umrah DIY telah memenangi anugerah laporan terbaik pada 2023 dalam Majlis Anugerah Divisyen Inggeris, Melayu dan Tamil (EMTM), SPH Media.
“Justeru, apa yang kami lakukan ini ialah untuk memastikan laporan-laporan khas ini menyerlah dari segi reka hias sejajar dengan mutu laporan yang diketengahkan. Harapan kami ialah laporan-laporan tersebut dapat dibaca secara lebih meluas,” tambah Encik Nazry.
Bagi edisi pertama yang memampilkan pendekatan baru ini, wartawan BM, Encik Izwandi Azman, telah mengetengahkan kisah-kisah menarik berkaitan koswe atau Tambak Johor.
Selain menggariskan kepentingan koswe kepada kehidupan sosial, ekonomi dan politik kededua rakyat Singapura dan Malaysia, beliau juga mengetengahkan kisah penduduk di kampung berhampiran koswe itu apabila ia baru-baru dibina.
Laporan tersebut, dihasilkan dengan sokongan pasukan media sosial akhbar ini, bersempena ulang tahun ke-100 pembinaan koswe.
Menyusuli laporan tersebut, dua laporan khas BM pula membawa pembaca ke pulau yang terletak kira-kira satu jam perjalanan menaiki feri dari Singapura iaitu Batam.
Dalam laporan pada 7 Julai, pasukan wartawan akhbar ini mendedahkan trend nikah ‘sirri’ atau nikah rahsia yang dilakukan warga setempat di Batam.
Sekiranya dahulu, pernikahan dijalankan di pulau tersebut, kini tok kadi di Batam turut menawarkan khidmat nikah secara Zoom, atau dalam talian.
Laporan berbentuk siasatan atau investigative itu melibatkan dua wartawan akhbar ini, Koresponden Kanan dan Ketua Hab Berita, Encik Farid Hamzah, yang menyamar sebagai mempelai yang menjalani ‘majlis pernikahan’ dengan wartawan, Cik Shiqin Ramadan.
Majlis tersebut dirakamkan melalui video.
Ia diterbitkan wartawan media sosial akhbar, Cik Ameerah Sallehuddin, dan dirakam serta disunting wartawan video, Encik Abdul Qayyum Sarip,
Video tersebut boleh ditonton di laman BH.sg dan saluran YouTube Berita Harian Singapura.
Laporannya pula dihasilkan Editor Bersekutu (Kolumnis Kanan), Encik Nizam Ismail; Koresponden, Encik Fakhruradzi Ismail dan Cik Shiqin.
Bagi melanjutkan tema Batam, terdapat laporan susulan, Batam, Rumah Keduaku.
Pascapandemik, Batam kini semakin menjadi pilihan warga Singapura.
Ada yang membeli rumah di sana, sama ada sebagai rumah kedua untuk dinikmati pada hujung minggu atau sebagai persiapan persaraan bersama keluarga Singapura.
Ada juga yang menetap bersama pasangan asal Batam atau menjadikan pulau itu sebagai tempat menjalankan perniagaan.
Menurut pihak berkuasa Batam, sekitar 5,000 warga Singapura kini memiliki rumah di Batam.
Merumuskan, Encik Nazry berkata laporan khas yang diterbitkan di BM dengan kandungan digital seperti video turut mencerminkan kerjasama antara pasukan berbeza dalam bilik berita – daripada pasukan editor kepada wartawan, artis infografik, jurufoto dan pasukan media sosial.
“Kami yakin pembaca akan meraih manfaat daripada laporan yang kami hasilkan, tapi pada masa yang sama kami turut mengalu-alukan maklum balas untuk menjadikan kandungan BH lebih baik dan memenuhi keperluan masyarakat,” ujar beliau.
“
“Landskap media hari ini amat kompetitif dan kami sentiasa berlumba-lumba untuk menarik perhatian pembaca dan audiens kami. Ini boleh dilakukan menerusi paparan laporan khas dalam reka bentuk menarik. Bagi BM (Berita Minggu) khususnya, sebahagian besar pembaca membeli akhbar ini dari rak-rak surat khabar, justeru paling penting ialah untuk menarik perhatian mereka secara visual.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg