Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Akhbar pelajar Gen G diberi nafas baru

Dec 26, 2024 | 3:10 PM
Penyunting BH/BM, Cik Nurfahruriza Ismail (kanan), berkongsi dengan pelajar Sekolah Perempuan Raffles bagaimana penyunting menyusun atur kandungan di halaman akhbar.
Penyunting BH/BM, Cik Nurfahruriza Ismail (kanan), berkongsi dengan pelajar Sekolah Perempuan Raffles bagaimana penyunting menyusun atur kandungan di halaman akhbar. - Foto BM oleh IZWANDI AZMAN

Akhbar pelajar Berita Harian (BH), Gen G, telah diberi nafas baru pada 2024.

Ini antara usaha BH untuk terus mendekati pelajar dan guru, memperkayakan pengalaman pembelajaran bahasa Melayu serta memperkenalkan dunia kewartawanan kepada generasi muda.

Dengan ruangan baru seperti ‘Ehwal Semasa’ yang merangkumi tiga tahap bacaan, Gen G berusaha memenuhi pelbagai keperluan pelajar pada peringkat kemahiran bahasa yang berbeza dan mendedahkan kepada isu relevan.

Di samping mencakupi berita-berita ehwal semasa dan ruangan santai seperti ‘Tular’ dan ‘Kaki Makan’, ia bertujuan memberi keseimbangan dan merangsang minat pelajar untuk terus membaca.

Para pelajar juga dapat menyumbang karya mereka kepada Gen G. 

“Pembaruan akhbar Gen G bertujuan memberi guru satu lagi sumber menarik untuk memperkaya bahan bacaan di sekolah. 

“Para guru boleh memanfaatkan sumber baru ini bukan sahaja untuk membantu pelajar memperbaiki penguasaan Bahasa Melayu, bahkan pengetahuan mereka tentang perkembangan semasa,” kata Editor Audiens dan Perkembangan BH/BM, Cik Norhaiza Hashim.

Gen G kini juga sedang dalam usaha untuk memperluaskan penerbitannya dalam talian melalui laman beritaharian.sg, menjadikannya lebih mudah diakses oleh pelajar dan ibu bapa.

Selain itu, pelbagai program dan bengkel kewartawanan dan penerbitan telah dianjurkan untuk para pelajar. 

Ini selaras dengan matlamat BH untuk memainkan peranan sebagai medium utama yang mendekatkan pelajar kepada bahasa, budaya dan ilmu kewartawanan.

Pada 3 dan 4 Jun, lebih 50 pelajar dari 13 sekolah menengah menyertai Kem Wartawan Muda di SPH News Centre.

Kem itu bertujuan mencungkil bakat generasi baru dan para pelajar yang menyertai kem ini berpeluang menemu ramah penyanyi tempatan terkenal seperti Shazza dan pempengaruh TikTok tempatan, Syazwan Hakim atau lebih dikenali dengan gelaran ‘Syazwannendo’ serta melawat pejabat TikTok di One Raffles Quay.

BH/BM juga menganjurkan pelbagai aktiviti interaktif untuk menanam minat pelajar terhadap bahasa Melayu, seperti Peraduan TikTok dan Video bertemakan filem P. Ramlee pada Mac, yang menarik lebih 400 pelajar dari 100 sekolah.

BH/BM turut menyertai Simposium Bahasa Ibunda (MTLS) ke-13 pada 14 September, dengan pelajar dan ibu bapa yang berkunjung ke reruai BH/BM dapat menyertai aktiviti rakaman video secara langsung.

Dalam usaha mendekati lebih ramai pelajar, BH/BM telah membuka pintu kepada pelajar untuk memahami selok-belok dunia kewartawanan melalui lawatan ke bilik berita serta menyertai bengkel kewartawanan, podcast dan penerbitan kandungan digital.

Para pelajar dari Sekolah Rendah Clementi, Sekolah Menengah Commonwealth, Sekolah Menengah Westwood dan Sekolah Perempuan Raffles antara sekolah yang telah berkunjung ke bilik berita BH.

Melalui program itu, para pelajar dapat mempelajari kemahiran praktikal dan memahami bagaimana bidang kewartawanan berfungsi di dunia sebenar.

Dengan sambutan positif terhadap inisiatif Gen G seperti Kem Wartawan Muda, dan program interaktif lain, BH/BM berharap dapat memperluaskan usaha mendekati lebih ramai lagi para pelajar dan guru. 

BH/BM berharap dapat terus menjadi peneraju dalam menyokong pembelajaran bahasa Melayu dan memperkenalkan pelajar kepada dunia kewartawanan.

“Pembaruan akhbar Gen G bertujuan memberi guru satu lagi sumber menarik untuk memperkaya bahan bacaan di sekolah.  Para guru boleh memanfaatkan sumber baru ini bukan sahaja untuk membantu pelajar memperbaiki penguasaan Bahasa Melayu, bahkan pengetahuan mereka tentang perkembangan semasa.”
Cik Norhaiza Hashim, Editor Audiens dan Perkembangan BH/BM.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg