Topik diikuti
Pergi ke BHkuAkhirnya terima kunci flat tertangguh dek Covid-19
Akhirnya terima kunci flat tertangguh dek Covid-19
Akhirnya terima kunci flat tertangguh dek Covid-19
SELAMA enam bulan pasangan suami isteri, Encik Muhammad Abdul Hahlim dan Cik Lin Huiping Sheril Aida, menantikan kunci bagi flat lima bilik Bina Ikut Tempahan (BTO) mereka yang tertangguh menyusuli pandemik Covid-19 yang melanda.
Semalam sejurus mendapatkan kunci flat tersebut, pasangan itu bergegas ke Northshore Edge dekat Punggol untuk melihat secara dekat flat mereka itu.
"Pastinya ghairah dan teruja sangat bila dapat kunci ini. Apakan tidak semasa mula-mula dapat tahu projek ini tertangguh, kami rasa agak sedih juga.
"Maklumlah sudah lama juga kami nantikan untuk menghuni flat kami ini.
"Dan kini kami perlu cari kontraktor untuk kerja-kerja ubah elok, dan ini akan makan lebih masa lagi," ujar Encik Muhammad.
Pasangan itu yang menjangkakan mereka akan dapat masuk ke flat tersebut menjelang akhir tahun ini merupakan antara 388 pemilik flat empat dan lima bilik Northshore Edge yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Terdapat tiga blok di estet kejiranan itu - 401A, 402A dan 402B.
Menyusuli penangguhan tersebut, pasangan berusia 34 tahun itu yang sudah mempunyai dua anak kecil berusia 10 bulan dan empat tahun, menetap di rumah ibu Cik Lin di Woodlands Street 81.
Mereka telah membeli flat tersebut pada 2017 dengan harga $419,000 dan sepatutnya sudah boleh masuk ke flat mereka itu tahun lalu.
"Kami diberitahu tentang penangguhan binaan projek ini.
"Sedih juga masa itu, tapi kami faham atas sebab pandemik Covid-19, maka sektor-sektor binaan banyak terjejas," jelasnya.
Namun sejak bulan ini, mereka dan beberapa pemilik lain sudah mula mendapat kunci masing-masing - termasuk Encik Muhammad yang ditawarkan flat di tingkat 14.
Menurutnya, beliau dan isterinya memilih estet tersebut kerana terdapat beberapa kemudahan berdekatan.
Ini termasuk Stesen LRT Sumang, yang terletak sekitar 10 minit berjalan kaki dari rumahnya, pusat kejiranan generasi baru, Northshore Plaza, dan rangkaian taman menuju ke Pulau Coney.
Terdapat juga sebuah pusat jagaan kanak-kanak yang disediakan berdekatan blok pasangan itu.
Pemandangan Takungan Air Punggol dari tingkap ruang utama merupakan satu lagi sebab mengapa pasangan itu memilih flat tersebut apabila ditawarkan.
Ditanya tentang kerja-kerja renovasi untuk flat mereka itu, Encik Muhammad yang bekerja sebagai operator kren, berkata beliau telah memperuntukkan antara $40,000 dengan $50,000 untuk keseluruhan kos projek itu.
Ini termasuk memasang kabinet serta jeriji tingkap, memasang peralatan dalam tandas, dan penghawa dingin.
"Melihatkan keadaan sekarang di mana inflasi sedang berlaku, saya jangkakan kosnya mungkin lebih tinggi.
"Jadi kami perlu berhati-hati juga sebelum membuat sebarang perjanjian dengan pihak kontraktor - memastikan apa yang perlu sahaja dipasang," ujarnya.
Beliau yang mengambil cuti semalam untuk mengambil kunci flatnya itu daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah datang ke flat tersebut bersama isterinya yang merupakan seorang suri rumah, kededua anaknya, serta ibu mentuanya.
