Topik diikuti
Pergi ke BHkuTiada makna ada akta jika pekerja tua diberhenti sebab umur: Presiden Halimah
Tiada makna ada akta jika pekerja tua diberhenti sebab umur: Presiden Halimah
Tiada makna ada akta jika pekerja tua diberhenti sebab umur: Presiden Halimah
MENGHAPUSKAN perlindungan untuk pekerja tua daripada diberhentikan kerja atas sebab umur di bawah Akta Persaraan dan Pengambilan Kerja Semula akan menjadikan akta itu tidak bermakna, kata Presiden Halimah Yacob.
Merujuk kepada laporan akhbar The Straits Times kelmarin mengenai perdebatan Parlimen berkaitan hal itu, Puan Halimah berkata undang-undang sudahpun memperuntuk mekanisme menangani isu yang timbul daripada pertikaian antara pekerja lebih tua bagi pemberhentian kerja yang salah berdasarkan umur dan penegasan majikan bahawa sebab-sebabnya adalah berkaitan kerja.
Ini demi kepentingan pekerja dan majikan untuk mengekalkan peruntukan ini, kata Puan Halimah.
Perbahasan di Parlimen itu menyentuh tentang bagaimana undang-undang yang bertujuan melindungi pekerja daripada diberhentikan disebabkan usia boleh mendatangkan kesan positif dan negatif.
Cik Jessica Tan (GRC East Coast) menyuarakan bahawa syarikat mungkin memandang mengambil warga emas bekerja sebagai risiko jika warga emas itu ternyata tidak sesuai, kerana syarikat itu perlu menawarkan semula pekerjaan kepada individu tersebut setelah beliau mencapai usia persaraan.
Justeru, undang-undang itu boleh juga membawa kepada sikap berat sebelah tanpa disedari terhadap pengambilan warga emas untuk bekerja.
Dalam catatan di Facebook yang dimuat naik Puan Halimah semalam, beliau menjelaskan bahawa undang-undang menyatakan menjadi satu kesalahan bagi seorang majikan memberhentikan pekerja itu sebelum beliau mencapai usia persaraan.
"Tetapi ia tidak menjejas keupayaan seorang majikan memberhentikan pekerja lebih tua atas sebab ketidakcekapan atau salah laku yang terbukti atau sebab lain yang sah berkaitan prestasi tugasnya tidak kira usia. Kedudukan itu kekal sama hari ini dengan usia persaraan 63 tahun dan peruntukan pekerjaan semula yang ditambah kepada undang-undang," tulisnya.
Memberi latar belakang, Puan Halimah, yang terlibat dalam Akta pertama yang diluluskan dalam sejarah bagi menentukan usia minimum untuk bersara, berkata usia tersebut sebelum itu ialah 55 tahun, atau bagi pekerja kesatuan, pada usia 60 tahun di bawah perjanjian kolektif.
Namun, dengan tenaga kerja yang mengecil, hal tersebut tidak boleh dipertahan memandangkan orang ramai masih produktif dan mampu terus menyumbang.
Justeru, undang-undang menetapkan usia persaraan minimum pada 60 tahun, dengan angka tersebut bertukar kepada 63 tahun hari ini.
Biarpun begitu, Puan Halimah berkata majikan bebas membolehkan pekerja bersara pada usia yang lebih tua.
Memberi saranan, beliau berkata satu lagi unsur bagi memastikan bahawa undang-undang usia persaraan berkesan adalah dengan menyediakan latihan berstruktur kepada pekerja lebih tua supaya mereka terus mampu melakukan tugas apabila syarikat menyusun semula atau menuju ke arah automasi.
"Dan latihan itu tidak sepatutnya bermula hanya apabila mereka hampir bersara. Ia patut menjadi sebahagian daripada dasar syarikat, demi kepentingannya sendiri, dengan secara konsisten membangunkan setiap pekerja yang diambil bekerja agar merealisasikan potensi mereka sepenuhnya," ujarnya.
Akta Persaraan dan Pengambilan Kerja Semula, katanya, sering ditukil tetapi kekal sebagai sebahagian perundangan yang sebahagian besarnya disalah erti.
Menurutnya, ia satu keperluan untuk memastikan bahawa dorongan bagi pengambilan kerja bagi pekerja lebih tua adalah bermakna.
"Ramai majikan yang baik sedar akan nilai pekerja lebih tua dan terus menyediakan mereka dengan peluang pekerjaan yang bermakna. Saya berharap lebih ramai majikan akan melakukan demikian," tambahnya.
