Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Akta tangani jenayah dalam talian akan diperkenal lewat 2023

Josephine: Ini akan bolehkan pemerintah tangani pelbagai kandungan berniat jahat, lindungi warga
Feb 28, 2023 | 5:30 AM
CIK TEO: Langkah dapat tangani bahaya jenayah dalam talian secara lebih berkesan. - Foto MCI
CIK TEO: Langkah dapat tangani bahaya jenayah dalam talian secara lebih berkesan. - Foto MCI -

KEMENTERIAN Dalam Negeri (MHA) akan memperkenalkan Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian lewat 2023 bagi mengukuhkan usaha pemerintah dalam menangani pelbagai jenis kandungan dan melindungi rakyat dengan lebih baik, kata Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo.

Cik Teo, yang juga Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri dan Menteri bertanggungjawab bagi Negara Bijak dan Keselamatan Siber, berkata akta yang disarankan itu antaranya akan meluaskan skop pengawalseliaan yang boleh dilaksanakan ke atas kegiatan jenayah dalam talian, menambah skop yang boleh dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa dan memperkenalkan langkah menangani bahaya jenayah dalam talian secara lebih berkesan.

Skop yang diluaskan itu akan meliputi kuasa untuk menghentikan atau memadamkan komunikasi yang menyelaras jenayah secara fizikal, termasuk menghasut keganasan.

"Bagi ruang dalam talian, pemerintah tidak menetapkan atau mengekang pendakapan teknologi atau penggunaan platform dalam talian.

"Namun kami mempunyai tanggungjawab untuk melindungi rakyat kita daripada bahaya dalam talian, dengan cara yang sama kami tangani ancaman dalam ruang fizikal," kata Cik Teo dalam perbahasan Belanjawan kementeriannya di Parlimen pada Isnin.

Akta yang disarankan itu juga akan meliputi semua kaedah komunikasi dalam talian, dan memperkenalkan langkah untuk mengesan dan mengurangkan kegiatan siber jahat yang canggih seperti penipuan dan pancingan.

Cik Teo berkata saban tahun, pemerintah telah mengambil langkah untuk tangani pelbagai jenis kandungan dan tingkah laku dalam talian yang merbahaya.

Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) dan Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindakan Balas) atau Fica masing-masing telah diperkenalkan pada 2019 dan 2021 untuk menangani kepalsuan dalam talian serta campur tangan asing.

Akta Penyiaran telah dipinda awal bulan ini untuk menangani bahaya yang memberi impak keselamatan ke atas pengguna, seperti bunuh diri, mencederakan diri sendiri, buli dalam siber dan kandungan yang kemungkinan menjejas keharmonian kaum dan agama.

Pindaan-pindaan tersebut juga membenarkan pihak berkuasa untuk menghalang akses kandungan jahat kepada platform media sosial dalam talian.

Namun masih wujud jurang, kata Cik Teo, dan terdapat kandungan dalam talian yang merupakan jenayah atau menyelaras atau juga bersubahat dengan jenayah sedemikian.

"Ini termasuk jenayah sindiket seperti penipuan, hasutan gangguan awam dalam talian dan kegiatan siber berniat jahat seperti memancing dan pengedaran perisian hasad (malware)," kata Cik Teo.

Selain MHA, Bahas Belanjawan Parlimen pada Isnin, turut melibatkan perbahasan meliputi Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Kementerian Undang-undang (MinLaw).

Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, semasa perbahasan kementeriannya berkata Singapura kini berhadapan tempoh persaingan kuasa besar yang sengit, gangguan ekonomi global serta perubahan iklim dalam dunia yang semakin berpecah dan bergolak.

Beliau menambah Singapura mempunyai kekuatan ketara sebagai salah sebuah negara yang perpaduannya makin kukuh selepas pandemik Covid-19.

Sementara itu, Menteri Kedua (Undang-Undang), Encik Edwin Tong, pula antara lain menyatakan bahawa pihaknya akan meluaskan rangka kerja resolusi pertelingkahan. Antaranya, pihaknya akan terus menggalak penggunaan khidmat mediasi masyarakat, dalam hal pertelingkahan jiran, seberapa mungkin, kerana mediasi dapat mengekal dan mengukuh hubungan antara jiran.

INISIATIF BARU MHA

■ Perkenalkan Akta Merbahaya Jenayah Dalam Talian di Parlimen pada 2023 bagi kukuhkan kemampuan pemerintah tangani kegiatan jenayah dalam talian.

■ Biro Narkotik Pusat (CNB) akan kerahkan kit ujian air liur di pusat pemeriksaan dan semasa operasi penguatkuasaan setempat sebagai tambahan kepada usaha pengesanan dadah dan perbaiki keberkesanan operasinya.

■ Reben Kuning Singapura (YRSG) akan lancar inisiatif Kotak Percubaan (Sandbox) YR bagi bangunkan pilihan kerjaya baru dalam sektor yang bakal muncul atau cepat membangun. Ini termasuk dalam sektor digital, sekitaran membangun dan agritek.

■ Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) merintis satu skim baru bagi sukarelawan bantu pengurusan kes ke atas mereka yang terpilih dan diselia di bawah Program Berdasarkan Masyarakat (CBP).

■ Pejabat Pendidikan Awam Penipuan (SPEO) akan diperkenal pada 2023 dalam usaha dorong usaha kolektif dengan masyarakat dalam banteras kes penipuan, luaskan pendekatan dan selaras usaha terhadap pendidikan awam.

■ Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Serius Lain (Rampasan Hasil) bagi letakkan tanggungjawab ke atas "keldai wang".

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg