Topik diikuti
Pergi ke BHkuAktivis hospis Tokoh Singapura 2022 ST
Aktivis hospis Tokoh Singapura 2022 ST
ENCIK Anson Ng, pengasas badan amal Hao Ren Hao Shi (HRHS), atau Orang Baik, Perbuatan Baik, telah dinobatkan sebagai Tokoh Singapura bagi tahun 2022 The Straits Times (ST) atas usahanya memberi impak positif kepada golongan kurang bernasib baik.
Encik Ng merupakan salah satu daripada lapan finalis Anugerah Tokoh Singapura.
Dianjurkan oleh ST dan disampaikan oleh UBS Singapore, anugerah itu diberi setiap tahun kepada individu atau sekumpulan warga Singapura yang telah memberi kesan kepada masyarakat.
Anugerah tersebut disampaikan semalam oleh Presiden Halimah Yacob di Hotel Raffles Singapore.
Tahun ini, iaitu edisi kelapannya, anugerah itu disampaikan kepada Encik Ng, yang telah aktif dalam pergerakan hospis yang merangkumi pembiayaan perjalanan dan menyediakan makanan untuk mereka yang sakit tenat.
Malah, beliau, yang juga merupakan pemilik sebuah pengedar kereta terpakai, Presto Expat Motoring Services, juga menampung kos orang yang tidak dikenali dalam urusan pengebumian apabila mereka tidak mampu.
Mengulas tentang anugerah tersebut, Encik Ng, 55 tahun, melahirkan perasaan gembira dapat menyumbang kepada masyarakat.
"Saya dulu pun susah dan tahu perasaan ketidakberdayaan apabila tidak ada sesiapa untuk membantu saya," jelas mantan pegawai polis itu.
"Sekarang saya berkemampuan, ini adalah masa saya untuk menyumbang dan membantu mereka sebanyak mungkin supaya tidak melalui cabaran yang saya lalui dulu.
"Tidak kira bangsa atau agama, jika saya boleh membantu mereka, saya akan melakukannya," katanya.
Beliau mula membantu di rumah orang tua dan hospis lebih 20 tahun yang lalu, dan mengasaskan HRHS pada 2018 untuk menyediakan peruntukan bulanan dan makanan kepada golongan kurang bernasib baik.
Berdaftar sebagai badan amal, HRHS telah membantu kira-kira 1,000 keluarga.
Sebagai pemenang, Encik Ng membawa pulang sebuah trofi dan wang tunai $20,000. Hadiah wang tunai ditaja UBS, yang menyokong anugerah itu sejak perasmiannya.
Beliau juga menerima penginapan lima malam di mana-mana hartanah global Millennium & Copthorne Hotels dan sepasang tiket kelas perniagaan Singapore Airlines.
Finalis lain terdiri daripada atlet yang memberi inspirasi, wira masyarakat dan individu tekun memperjuang inisiatif kemasyarakatan mereka.
Antara mereka termasuk Encik Anjang Rosli, pengasas 'The Chapal Malay Dementia Community' untuk meningkatkan kesedaran mengenai demensia di kalangan masyarakat Melayu/Islam, serta Cik Khairiah Hanim Mazlan, seorang pemandu kreta sewa privet yang menyelamatkan penumpang bermasalah daripada membunuh diri.
Berucap di majlis penyampaian anugerah itu semalam, Puan Halimah berkata meskipun calon-calon tahun ini mempunyai latar belakang berbeza, mereka tetap bersatu dengan kesan yang telah mereka lakukan dalam masyarakat.
"Dalam masa akan datang, perjuangan global menentang wabak itu mesti diteruskan; Singapura dan dunia juga harus menangani ketegangan global yang semakin meningkat dan keadaan makroekonomi yang sukar.
"Kisah-kisah ketabahan, muhibah dan kemuliaan Singapura ini akan mengingatkan kita untuk berdiri bersama, dan memberi inspirasi kepada kami untuk maju dan berteguh bersama," ujarnya.
"Sekarang saya berkemampuan, ini adalah masa saya untuk menyumbang dan membantu mereka sebanyak mungkin supaya tidak melalui cabaran yang saya lalui dulu." - Encik Anson Ng, Tokoh Singapura 2022.