Akui manfaat pembelajaran digital

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Akui manfaat pembelajaran digital

May 23, 2021 | 5:30 AM

Akui manfaat pembelajaran digital

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
BELAJAR KEMAHIRAN DIGITAL: Cik Khadijah Samin mengikuti program pembelajaran Gerakan Transformasi Digital untuk Warga Emas di HouseofJoy@ TampinesGreenweave, sebuah tempat yang menganjurkan kegiatan buat warga emas yang terletak di bawah blok flatnya di Tampines.
BELAJAR KEMAHIRAN DIGITAL: Cik Khadijah Samin mengikuti program pembelajaran Gerakan Transformasi Digital untuk Warga Emas di HouseofJoy@ TampinesGreenweave, sebuah tempat yang menganjurkan kegiatan buat warga emas yang terletak di bawah blok flatnya di Tampines. - - Foto BH oleh LIM YAOHUI

Program tingkat keyakinan hidup berdikari

MENYERTAI program pembelajaran Gerakan Transformasi Digital untuk Warga Emas telah membantu meningkatkan daya keyakinan Cik Khadijah Samin, 63 tahun, seorang pesara.

Beliau telah bekerja di ST Aeroangkasa selama 42 tahun dan pekerjaan terakhirnya adalah di jabatan pemerolehan.

Melalui program pembelajaran tersebut, Cik Khadijah "tidak takut" dan lebih konfiden menggunakan kios memesan sendiri ketika membeli makanan di restoran makanan segera atau memesan barangan dapur di dalam talian.

Selain itu, beliau kini lebih memahami tentang aplikasi persidangan video, Zoom.

Beliau mengikuti program pembelajaran itu sekitar Mac lalu bersama suaminya yang berusia 69 tahun, di HouseofJoy@TampinesGreenweave, sebuah tempat yang menganjurkan kegiatan buat warga emas, yang terletak di bawah blok flat studio dua bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) beliau.

Beliau memang aktif turut serta program senaman anjuran HouseofJoy@TampinesGreenweave dan mendapat tahu tentang program pembelajaran Gerakan Transformasi Digital untuk Warga Emas melalui Duta Digital yang ditempatkan di situ.

"Saya sudah tahu menggunakan fungsi asas telefon bijak tetapi, memandangkan sekarang, semuanya digital - sedangkan hendak beli makanan di restoran makanan segera pun perlu tekan (kios memesan sendiri) sendiri - saya rasa susah kalau kita tidak pandai perihal digital," kata Cik Khadijah yang mempunyai tiga anak dan tujuh cucu.

Program Gerakan Transformasi Digital untuk Warga Emas, anjuran Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Pejabat Digital SG (SDO), adalah program yang direka khas untuk membantu warga emas dalam perjalanan digital mereka.

Program pembelajaran itu akan membimbing warga emas dalam tiga tahap kemahiran digital iaitu kemahiran komunikasi di mana mereka mempelajari cara menggunakan alat komunikasi asas dan membuat panggilan video; menggunakan SingPass mobil untuk mengakses perkhidmatan digital pemerintah, menggunakan aplikasi TraceTogether untuk SafeEntry; dan berkenaan e-pembayaran supaya mereka tahu menggunakan kod SGQR, aplikasi perbankan Internet dan tip tentang keselamatan siber.

Kata Cik Khadijah lagi: "Menerusi program itu, yang mana saya sudah tahu, saya menyemak semula dengan duta digital itu seperti cara menggunakan aplikasi pemerintah.

"Tetapi, saya sekarang lebih faham tentang aplikasi Zoom. Dahulu, semasa tempoh Pemutus Litar, anak-anak saya suruh saya 'Zoom' dengan mereka, saya ikut sahaja, mereka suruh tekan mana, saya tekan.

"Sekarang, saya tahu bagaimana hendak buat 'video meeting' sendiri. Kadangkala, saya buat senaman melalui Zoom sahaja.

"Saya juga lebih konfiden menggunakan kaedah e-pembayaran seperti PayNow dan tahu bagaimana hendak membeli barangan dapur di dalam talian," kata Cik Khadijah.

Menurutnya, beliau lebih senang memesan barangan dapur di dalam talian kerana beliau tidak boleh mengangkat benda berat akibat ada masalah otot di bahagian tangan.

Malah, beliau telah membuat janji temu untuk suntikan vaksin Covid-19 di dalam talian dengan bantuan duta digital di HouseofJoy@ TampinesGreenweave.

"Dalam keadaan sekarang, di mana kita warga tua digalakkan duduk di rumah akibat wabak Covid-19, saya rasa program pembelajaran digital ini baik untuk warga tua.

"Apabila kita, warga tua, ada pengetahuan tentang kaedah digital ini, ia banyak memberi kemudahan kepada kita. Kita tidak perlu sibuk pergi ke kaunter untuk bayar bil atau beratur di bank.

"Yang lebih penting lagi, kita boleh hidup berdikari. Kita tidak perlu bergantung pada anak-anak untuk uruskan sesuatu perkara kerana mereka juga masing-masing sibuk dengan keluarga sendiri," kata Cik Khadijah.

Lantaran itu, beliau sangat menggalakkan golongan warga tua agar merebut peluang menyertai program pembelajaran Gerakan Transformasi Digital untuk Warga Emas yang ditawarkan secara percuma.

Dapat berbual dengan anak isteri yang terpisah

AKIBAT pandemik Covid-19 dan sekatan perjalanan ke luar negara, Encik Azlan Ismail, 62 tahun, terpaksa berbicara dengan isteri dan anaknya yang tinggal di Batam melalui panggilan video.

Ini mendorong beliau mendaftarkan diri untuk program pembelajaran Gerakan Transformasi Digital untuk Warga Emas tatkala beliau ternampak risalah program itu di Pusat Masyarakat Kampong Chai Chee pada Mac lalu.

"Sejak terjadi pandemik Covid-19, saya sudah muat turun aplikasi TraceTogether dan SafeEntry. Jadi, saya hendak tahu jika ada aplikasi pemerintah lain yang saya harus muat turun apabila saya daftarkan diri untuk program itu," kata Encik Azlan yang bekerja di sebuah syarikat kawalan serangga.

Katanya lagi, beliau juga ingin tahu jika ada cara lain untuk menghubungi isteri dan anaknya yang tinggal di Batam.

Sebelum pandemik Covid-19, beliau berulang-alik dari Batam ke Singapura setiap hari. Namun, beliau terpaksa tinggal di Singapura supaya beliau boleh terus bekerja apabila sempadan kededua negara tutup sejak tahun lalu.

"Melalui program pembelajaran digital itu, mereka tunjuk ajar tentang cara membuat panggilan video bersama keluarga saya, aplikasi TraceTogether dan kaedah e-pembayaran PayNow.

"Yang mana saya sudah tahu, saya 'revise' (ulang kaji) semula. Yang saya tidak tahu seperti cara menggunakan PayNow, sekarang saya tahu bagaimana hendak lihat baki akaun bank saya menerusi aplikasi bank," kata Encik Azlan.

Kini, Encik Azlan berbicara dengan isteri dan anaknya melalui panggilan video WhatsApp setiap hari.

Menurut Encik Azlan, beliau juga kini lebih yakin menggunakan aplikasi pemerintah seperti SingPass Mobile dan sudah tahu bagaimana hendak lihat baki akaun bank melalui aplikasi bank yang telah dimuat turun ke telefon saya," kata Encik Azlan.

Justeru, beliau mengalu-alukan golongan warga emas turut serta dalam program pembelajaran Gerakan Transformasi Digital untuk Warga Emas ini supaya mereka ada pengetahuan, biarpun sedikit tentang wadah digital.

DAFTAR UNTUK RAIH KEMAHIRAN DIGITAL

Ayuh belajar bersama kami di Pod Digital IMDA - sebuah siri webinar pembelajaran dalam talian yang meliputi senarai kemahiran serta peralatan digital yang luas yang dapat anda gunakan bagi mempertingkatkan kesihatan dan kesejahteraan diri, mengakses khidmat-khidmat Pemerintah, berbelanja di dalam talian dan banyak lagi.

Dengarkan webinar percuma dalam talian ini setiap Selasa dan Khamis menerusi Zoom dari jam 3.00 petang hingga 3.30 petang.

Daftar hari ini bagi Pod Digital IMDA di go.gov.sg/dp

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg