KEMENTERIAN Pendidikan (MOE) semalam mengumumkan langkah menghentikan sistem penyaluran pelajar di sekolah menengah atau streaming bagi aliran Normal (Teknikal), Normal (Akademik) dan Ekspres menjelang 2024.
Mengumumkan demikian semasa perbahasan belanjawan MOE di Parlimen semalam, Menteri Pendidikan, Encik Ong Ye Kung, berkata ini akan digantikan dengan Perlaksanaan Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (SBB Penuh), di mana pelajar boleh mengambil subjek di peringkat lebih tinggi atau rendah, berdasarkan keupayaan mereka.
"Kami akan membenarkan fleksibiliti pelajar daripada satu aliran mengambil subjek dalam aliran lain, untuk mengembangkan pembelajaran dan pengalaman mereka," kata Encik Ong.
Bermula tahun depan, MOE akan mula melaksanakan SBB Penuh di sekitar 25 sekolah sebelum ia diperkenalkan secara berperingkat di kesemua sekolah menengah, dengan penyaluran pelajar dihentikan menjelang 2024.
Kesemua pelajar Menengah Satu bagi kohort 2024 akan mengambil subjek berdasarkan keupayaan dan kekuatan mereka.
Subjek misalnya dalam Matematik akan diajar di tiga peringkat - G1, G2 dan G3.
G bermaksud General atau umum.
G1 akan mempunyai standard yang sama dengan N(T) hari ini; G2 seperti N(A) dan G3 seperti Ekspres.
Selain itu, di bawah SBB Penuh, subjek yang boleh diambil pelajar tidak sahaja terhad kepada empat subjek - Bahasa Inggeris, Bahasa Ibunda, Matematik dan Sains - tetapi juga merangkumi subjek kemanusiaan lain seperti sejarah, kesusasteraan dan geografi.
Apabila pelajar berada di Menengah Empat pada 2027 pula, pelajar akan mengambil peperiksaan umum dan lulus dengan sijil sekolah menengah umum.
Sijil umum ini akan menggabungkan sijil peringkat 'O', N(A) dan N(T) yang ada sekarang.
Ia juga akan menyenaraikan subjek yang diambil dan band bagi setiap subjek, serupa dengan sijil peringkat 'A' di maktab rendah sekarang.
"Singapura dan Cambridge akan menjenamakan bersama sijil baru ini kerana kededuanya mempunyai jenama antarabangsa yang kukuh dalam pendidikan, sekali gus akan dapat mempertingkat pengiktirafan dan nilai sijil tersebut," jelas Encik Ong.
Ekoran perubahan itu, pihak kementerian akan menyemak sistem penempatan posmenengah untuk memastikan pelajar yang mengambil kombinasi subjek G1, G2 dan G3 akan dipertimbangkan secara adil apabila memohon memasuki Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan maktab rendah.
"Semakan kami akan mengiktiraf kekuatan khusus seorang pelajar yang menjadikan mereka sesuai bagi sesebuah kursus posmenengah," tambah Encik Ong.
Meskipun ketiga-tiga aliran digabungkan apabila SBB Penuh dilaksanakan kelak, Encik Ong berkata sistem penempatan ke sekolah menengah bagaimanapun tidak akan berubah.
Ini bermakna sekolah menengah akan terus menerima pelajar daripada tiga band penskoran Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) walaupun penyaluran pelajar telah digabungkan.
"Dari segi pendidikan, pendekatan ini adalah praktikal dan munasabah kerana peralihan dari darjah enam ke menengah satu adalah penting bagi semua pelajar dan kami mahu pelajar mempunyai permulaan yang baik.
"Kemudian apabila di sekolah menengah, SBB Penuh akan membolehkan mereka mengikuti laluan berbeza, mengambil kombinasi subjek merentasi band yang berbeza," kata Encik Ong.
Sementara itu, dalam perbahasan itu juga, pemerintah telah memberi respons kolektif bagaimana untuk menangani isu ketidaksamaan dan stratikfikasi sosial.
Wakil Menteri Tenaga Manusia (MOM), Kementerian Pembangunan Negara (MND), Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan MOE telah membentangkan beberapa program dan inisiatif sedia ada yang akan dipertingkat untuk menawarkan sokongan holistik bagi rakyat Singapura daripada latar belakang kurang berkemampuan, berpendapatan rendah atau mereka yang sedang menghadapi cabaran.
BINA MASYARAKAT SEDIAKAN PELUANG UNTUK SEMUA
PERUBAHAN PENDIDIKAN
TANGANI KETIDAKSAMAAN
LUASKAN BANTUAN
JAMINAN UNTUK PEKERJA
Laporan Parlimen:


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg