MENTERI Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, telah mengarahkan Pejabat Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) mengeluarkan Arahan Pembetulan ke atas The Alternative View selepas satu catatan laman Facebook itu mengandungi kepalsuan kononnya Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) meraih keuntungan daripada penjualan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) Central Weave @ AMK.
Platform itu dikehendaki menyertakan satu notis pada catatan asalnya, dengan pautan ke penjelasan pemerintah itu.
Kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Negara (MND) semalam menyatakan catatan Facebook yang diterbitkan The Alternative Vuew pada Khamis lalu itu mengandungi kenyataan palsu dan mengelirukan.
"Pada 1 September lalu, The Alternative View menerbitkan satu catatan Facebook di mana ia mengeluarkan semula tajuk sebuah artikel dari AsiaOne (bertarikh 31 Ogos 2022) yang menyatakan bahawa 'Flat BTO Ang Mo Kio: Permintaan kukuh bagi unit 5 bilik di sebalik harga hingga $877,000", mengandungi satu imej Menteri Pembangunan Negara memegang beg berisi wang, dan diakhiri dengan kapsyen yang bertanyakan Berapa banyak keuntungan yang diraih HDB menerusi cara ini?'.
"Secara tidak langsung catatan itu menyatakan bahawa HDB meraih keuntungan hasil jualan flat BTO Central Weave @ AMK, yang merupakan sebahagian daripada jualan BTO Ogos 2022.
"Kenyataan itu palsu," ujar MND.
Kementerian itu berkata bahawa HDB tidak akan meraih keuntungan hasil jualan flat BTO Central Weave @ AMK.
Sebaliknya ia mengalami kerugian daripada projek tersebut, memandangkan jumlah anggaran yang akan dikutip daripada jualan tersebut lebih rendah daripada kos pembangunan keseluruhan projek itu.
"Sekiranya kita mengambil kira geran perumahan CPF (Tabung Simpanan Pekerja) yang akan HDB beri kepada pembeli layak, defisitnya masih lebih tinggi," ujar MND dalam kenyataannya.
Jumlah yang dikutip HDB daripada jualan flat setiap tahun kewangan kurang daripada kos yang ditanggungnya, termasuk kos pembangunan menyeluruh (termasuk kos tanah dan pembangunan) serta geran perumahan CPF.
HDB mengalami defisit setiap tahun.
Bagi tahun kewangan 2021/2022, HDB mengalami defisit sebanyak $3.85 bilion dalam Program Pemilikan Rumahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg