Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Alu-alu palu kompang semula di majlis kahwin

Kumpulan kompang, band bersiap sediakan khidmat lagi dengan langkah selamat Covid-19
Dec 29, 2020 | 5:30 AM
TIDAK SABAR BERGENDANG: Anggota kumpulan kompang Syabab tidak sabar untuk membuat persembahan pertama mereka sejak sekatan Covid-19 awal tahun ini dalam sebuah majlis perkahwinan pertengahan bulan depan. Gambar diambil sebelum Covid-19 melanda. - Foto SYABAB
TIDAK SABAR BERGENDANG: Anggota kumpulan kompang Syabab tidak sabar untuk membuat persembahan pertama mereka sejak sekatan Covid-19 awal tahun ini dalam sebuah majlis perkahwinan pertengahan bulan depan. Gambar diambil sebelum Covid-19 melanda. - Foto SYABAB -

MENGEBAS debu dari alat muzik mereka, kumpulan kompang dan band telah bersiap untuk meneruskan perkhidmatan mereka menyediakan hiburan bagi majlis perkahwinan.

Mulai semalam, muzik instrumental live, kecuali alat muzik angin, boleh dimainkan di majlis perkahwinan dalam bangunan, upacara pengebumian dan kegiatan berkaitan pengebumian, dengan langkah-langkah pengurusan selamat dilaksana, di bawah fasa ketiga pembukaan semula Singapura.

Mengalu-alukan kelonggaran itu, beberapa kumpulan kompang dan band berkata mereka sudah lama menantikan fasa ketiga pembukaan semula apabila keadaan Covid-19 di sini kian reda.

Melahirkan perasaan lega, kumpulan kompang Syabab tidak sabar untuk mempersembah paluan mereka di majlis pertama mereka dalam beberapa bulan pada pertengahan bulan depan.

Pentadbir Syabab, Encik Muhammad Kamil Mohd Sharip, berkata kumpulan itu kehilangan 20 tempahan ketika mereka tidak dibenarkan menyediakan khidmat kompang sejak awal tahun ini.

"Saya sering mengikuti berita mengenai kelonggaran bagi majlis perkahwinan sejak April lalu. Namun, setiap minggu tiada berita gembira untuk kami menyambung perkhidmatan kompang.

"Dengan kes Covid-19 dalam masyarakat kini rendah, ia memberi harapan bahawa keadaan akan kembali seperti biasa tidak lama lagi. Ia juga memberi kami masa untuk bersiap sedia bagi menawarkan khidmat kami kepada klien" ujar beliau.

Bersyukur dengan kelonggaran itu, ketua kumpulan kompang Percussionz by Makyong Kedek, Encik Hirman Ramlee, telah mengeluarkan alat muziknya yang sudah hampir setahun disimpan dalam stor.

"Sukar untuk bertahan semasa tempoh ini kerana tidak ada sesiapa menempah khidmat kumpulan kompang kami. Alhamdulillah, berita (kelonggaran fasa ketiga) ini baik bukan untuk kami sahaja, malah pasangan yang menangguh majlis perkahwinan mereka ke tahun depan.

"Walaupun perlu melakukan penyesuaian bagi persembahan kami di bawah norma baru, kami akan terus berusaha melakukan yang terbaik," katanya.

Untuk bertahan sepanjang tahun mencabar ini, Munir Traditional Band menawarkan khidmat alternatif, seperti pengacara, sebagai ganti kepada persembahan live.

Ketua kumpulan itu, Encik Mohamed Hanrin Hanibah, berkata beliau tidak sabar untuk membuat persembahan secara live.

"Kepada pelanggan setia yang telah menempah kumpulan kami, kami sangat berterima kasih kerana bertahan bersama kami, terutama kepada yang berulang kali menukar tarikh walimah demi menyertakan kami dalam majlis mereka.

"Buat sementara ini, kami akan terus mempromosikan kumpulan kami, dan mudah-mudahan tempahan bagi kumpulan kami akan bertambah seperti dahulu," katanya, walaupun beliau menambah bahawa sekalipun sekarang ada kelonggaran, tempahan mungkin tidak setinggi sebelum Covid-19.

Walaupun tahun ini agak mencabar bagi kumpulan-kumpulan itu, ketika dihubungi Berita Harian mereka menunjukkan kekentalan semangat untuk meneruskan tradisi persembahan kompang dan band dan mengembalikan kemeriahan bagi majlis perkahwinan masyarakat Melayu.

"Alhamdulillah, berita (kelonggaran fasa ketiga) ini baik bukan untuk kami sahaja, malah pasangan yang menangguh majlis perkahwinan mereka ke tahun depan. Walaupun perlu melakukan penyesuaian bagi persembahan kami di bawah norma baru, kami akan terus berusaha melakukan yang terbaik." - Encik Hirman Ramlee, ketua kumpulan kompang Percussionz by Makyong Kedek.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg