AKIBAT pandemik Covid-19 yang masih berlarutan, masyarakat keagamaan berbeza memanfaatkan teknologi untuk menyesuaikan diri dengan krisis tersebut, selain beralih kepada wadah dalam talian untuk mendapatkan khidmat dan bahan agama.
Menyentuh trend ini, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Alvin Tan, berkata para asatizah telah menggunakan wadah dalam talian seperti portal Muslim.SG untuk menyampaikan ilmu agama.
Malah, upacara Qing Ming, atau upacara memperingati nenek moyang, telah diadakan secara dalam talian tahun ini, katanya.
Encik Tan telah menghadiri sesi sembang dengan wakil-wakil pelbagai agama semasa resepsi teh yang dianjurkan Pusat Harmoni kelmarin.
Sesi sembang tersebut berkisar topik 'Memperkukuh Jalinan Silang Agama melalui Perbualan Maya dan Hubungan Nyata'.
Encik Tan berkata walaupun penting untuk menyesuaikan diri dan berdaya tahan dalam pandemik seperti yang dilalui sekarang, pemimpin agama perlu melengkapkan usaha dalam talian mereka dengan interaksi secara bersemuka.
"Kita nak menyentuh sesuatu yang bersifat rohani, dan digital merupakan salah satu salurannya.
"Anda boleh (mempelajari tentang agama satu sama lain) secara dalam talian, tetapi interaksi dan khidmat tersebut tidak boleh dilakukan secara maya," ujar beliau.
Encik Tan turut berkongsi pandangannya tentang masa depan silang agama semasa sesi tersebut.
Pemimpin agama belia, katanya, mesti terus melakarkan jenis Singapura yang kita mahukan dan pentingnya mempelajari tentang agama lain.
Kelmarin, Encik Tan turut melancarkan penerbitan 2019 Kuliah Kenangan Abdul Aleem Siddique keenam (AASML) yang berjudul 'Agama Dalam Talian dalam Dunia Maya'.
Selain itu, beliau telah menyampaikan tanda penghargaan kepada penceramah dari pelbagai organisasi keagamaan bagi mengiktiraf sumbangan mereka terhadap melakarkan konsep dua siri dalam talian yang diperkenalkan Pusat Harmoni tahun ini iaitu SingapoREADS dan Tick Talks.
SingapoREADS yang dilancarkan pada 18 September lalu bertujuan menyatukan anak muda dari pelbagai agama untuk membincangkan isu berdasarkan nilai agama mereka serta buku yang mereka baca.
Siri tersebut mahu menggalakkan generasi muda menghargai perbualan silang agama dan membangunkan fikiran kritikal menerusi pembacaan.
Tick Talks pula dilancarkan pada 30 September lalu dan merupakan program mengumpulkan wakil dan pakar agama untuk membincangkan isu kontemporari.
Semua episod program tersebut boleh disaksikan di saluran YouTube Pusat Harmoni.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg