Pindaan kepada Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) telah dibentangkan di Parlimen pada 6 Oktober bagi memperkukuh institusi Islam tempatan serta menyokong kesejahteraan keluarga Islam di Singapura.

Antara perubahan paling ketara merangkumi kejelasan mengenai fungsi berkanun Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam mentadbir dan menyelia Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).

Selain itu, pindaan itu bakal mempertingkat proses perkahwinan dan perceraian orang Islam bagi memperkukuh tumpuan terhadap penjagaan keluarga serta kebajikan anak dalam proses perkahwinan dan perceraian.

Pindaan kepada Amla itu dibentangkan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, di Parlimen pada 6 Oktober.

Menerusi pindaan itu, SCIS bakal diiktiraf di bawah perundangan untuk menganugerahkan ijazah sarjana muda serta diploma dalam pengajian Islam, sekali gus memperkukuh kedudukan kolej itu sebagai institusi pengajian tinggi yang diyakini.

MUIS juga akan menyelia SCIS dalam misinya untuk membangunkan bakat keagamaan dan menyediakan pembiayaan daripada sumber masyarakat sedia ada yang diuruskan oleh MUIS, termasuk Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF), zakat dan wakaf.

Pindaan kepada Amla juga akan memberikan kuasa penyeliaan kepada Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam dalam urusan pentadbiran dan kewangan kolej tersebut.

“Menteri akan menyelia rangka kerja kebertanggungjawaban dan jaminan kualiti SCIS, mempunyai akses kepada rekod kewangannya, membuat pelantikan bagi lembaga pentadbirnya, serta meluluskan keputusan penting seperti perubahan pada perlembagaannya.

“Langkah ini akan menyokong tadbir urus yang mantap, memandangkan kolej tersebut akan menerima dana daripada pemerintah dan masyarakat,” kata Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dalam satu kenyataan pada 6 Oktober.

Dari segi kewangan, pemerintah akan membiayai komponen bukan agama bagi program dan infrastruktur SCIS, termasuk program sains kemasyarakatannya, manakala masyarakat Islam pula akan membiayai komponen pendidikan agama, tambah MCCY.

Selain pengukuhan SCIS, pindaan Amla turut membawa pembaharuan menyeluruh dalam proses perkahwinan dan perceraian Islam demi memberi perlindungan yang lebih teguh kepada institusi kekeluargaan.

Bagi permohonan bernikah yang melibatkan warga negara asing, syarat tempoh minimum bagi individu itu berada di Singapura secara fizikal akan diperkenalkan bagi memastikan pihak berkaitan mempunyai pertalian yang bermakna dengan negara ini.

Bagi pasangan yang berdepan kemelut rumah tangga, Mahkamah Syariah (SYC) akan diberi kuasa mempermudah prosedur perceraian tanpa menjejas prinsip hukum Islam.

Antaranya, SYC boleh mengecualikan pelantikan hakam bagi kes perceraian secara talak tafwidh serta mengecualikan keperluan saksi berikrar bagi kes fasakh tertentu sekiranya bukti dokumentasi yang mencukupi telah dikemukakan.

Talak tafwidh adalah istilah dalam hukum keluarga Islam yang merujuk kepada pemberian kuasa oleh suami kepada isteri untuk menjatuhkan talak ke atas dirinya sendiri.

Langkah mempermudah prosedur ini dapat mengurangkan beban pentadbiran serta keperitan emosi yang dihadapi pasangan serta ahli keluarga sepanjang prosiding perceraian.

Menjawab pertanyaan media, MCCY dan MUIS berkata melalui penyelarasan prosedur bagi talak tafwidh, kedua-dua pihak berpotensi menjimatkan masa selama enam bulan atau lebih.

Ini kerana perkara tersebut boleh diselesaikan di peringkat mediasi tanpa perlu melantik hakam atau menjalani persidangan pra-perbicaraan dan perbicaraan penuh.

Selain itu, pihak-pihak terbabit tidak perlu membayar yuran pelantikan hakam dan yuran perintah mahkamah yang berjumlah $172 bagi setiap pihak.

“Pindaan ini bertujuan membolehkan pihak-pihak yang telah mencapai persetujuan mengenai semua isu untuk menyelesaikan perceraian secara baik dan pada peringkat awal, sekali gus mengelakkan tekanan emosi dan psikologi yang tidak wajar akibat proses perceraian yang lebih panjang,” kata MCCY dan MUIS.

Dalam pada itu, SYC turut diperkasa untuk membuat perintah berkaitan kewangan dan hal ehwal anak-anak susulan perceraian Islam yang dimuktamadkan di luar negara, tanpa memerlukan pasangan memulakan prosiding berasingan di Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Keadilan Keluarga.

Pindaan ini juga mempertegas prinsip keadilan terapeutik dengan menetapkan bahawa kebajikan dan kesejahteraan anak-anak kekal sebagai pertimbangan paling utama dalam semua keputusan mahkamah.

SYC juga bakal diberi kuasa untuk membenarkan atau menghalang seseorang anak di bawah perintah jagaan daripada dibawa berpindah atau keluar dari Singapura.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti