Topik diikuti
Pergi ke BHkuAmos Yee berdepan lebih banyak tuduhan ancam keharmonian kaum, komen berbaur pedofilia
Polis terima laporan mengenai kandungan dalam talian yang membimbangkan, boleh pecah belah kaum
Pesalah seks kanak-kanak, Amos Yee, akan didakwa kerana cuba menggugat keharmonian antara kaum dan komunikasi tidak senonoh yang boleh mencetuskan keresahan awam.
Dalam satu kenyataan polis pada 25 Ogos, Yee, 27 tahun, dijadual didakwa di mahkamah pada 26 Ogos.
Antara April 2026 dengan Julai 2026, polis berkata ia menerima beberapa laporan mengenai kandungan dalam talian terbitan Yee yang didapati membimbangkan dan berupaya memecahbelahkan kaum.
Siasatan polis kemudian dijalankan.
Menurut polis, Yee didapati telah membuat dua catatan dalam blognya pada 7 dan 11 April, serta memuat naik video di platform ‘X’ pada 27 Mei, yang menyatakan masyarakat minoriti Melayu/Islam dan India di sini berdepan diskriminasi oleh kaum Cina yang merupakan masyarakat majoriti.
Dia juga membuat kenyataan berkenaan layanan pemerintah terhadap masyarakat Melayu/Islam dan India dan mengusulkan supaya mereka membuat bantahan terhadap pemerintah.
Dalam catatan lain yang diterbitkan dalam blognya pada 30 Jun, polis berkata Yee antara lain menyatakan kanak-kanak berupaya memberikan keizinan untuk perbuatan seksual dilakukan.
Dia juga menyokong pemansuhan undang-undang yang mengawal had usia di mana kanak-kanak boleh mengizinkan perbuatan sedemikian, tambah polis.
Ini di samping tiga video lain yang diterbitkannya dan didapati dimuat naik secara dalam talian pada 2021.
Menurut polis, video tersebut menyokong hubungan seksual melibatkan kanak-kanak dan pemansuhan undang-undang yang melarang bahan penderaan seksual kanak-kanak.
Oleh itu, polis berkata Yee akan didakwa di bawah Seksyen 298A(a) Kanun Keseksaan 1871, dan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Perlindungan Daripada Gangguan (Poha), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(2) Poha.
“Polis memandang serius perbuatan mengancam keharmonian kaum dan agama di Singapura, serta komunikasi tidak senonoh – termasuk yang menyokong atau menggalakkan hubungan seksual melibatkan kanak-kanak.
“Mana-mana individu yang melakukan perbuatan atau komunikasi sedemikian akan dikenakan tindakan pantas dan tegas, mengikut undang-undang,” kata polis.
Jika disabit kesalahan bagi kededua tuduhan, dia boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda, atau kededuanya.
Yee kini bebas dari Penjara Changi setelah ibunya membayar ikat jamin $10,000, selepas dia dihadapkan ke mahkamah pada 20 Mac atas tiga tuduhan di bawah Akta Perkhidmatan Negara (NS).
Dokumen mahkamah mendedahkan bahawa Yee gagal melaporkan diri untuk pemeriksaan perubatan sebelum kerahan NS dan kekal di luar negara tanpa permit sah selepas berlepas ke Amerika pada Disember 2016 untuk memohon suaka.
Dia didakwa meninggalkan Singapura tanpa permit sah dari 13 Disember 2015 hingga 19 April 2016; dan dari 15 Disember 2016 hingga 19 Mac 2026, serta gagal melaporkan diri untuk pemeriksaan perubatan dari April 2016 hingga Mac 2026.
Dia dijangka mengaku bersalah atas ketiga-tiga tuduhan itu pada 7 September.
Pesalah yang melanggar peraturan kerahan NS boleh didenda sehingga $10,000, dipenjara hingga tiga tahun, atau kededuanya.
