Topik diikuti
Pergi ke BHkuAMP lancar projek sasar tingkat pendapatan bulanan masyarakat Islam capai $30,000 jelang 2040
AMP lancar projek sasar tingkat pendapatan bulanan masyarakat Islam capai $30,000 jelang 2040
Diberi nama Projek 30K, projek itu diumumkan sempena ulang tahun ke-35 AMP
AMP lancar projek sasar tingkat pendapatan bulanan masyarakat Islam capai $30,000 jelang 2040
Sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas AMP Singapura untuk memperkukuh kesejahteraan ekonomi masyarakat Islam di Singapura, AMP telah mengumumkan Projek 30K, yang menetapkan aspirasi bersama untuk meningkatkan pendapatan isi rumah bulanan median masyarakat Islam kepada $30,000 menjelang 2040.
Perkara ini diumumkan pada 27 November pada majlis makan malam ulang tahun ke-35 AMP yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands di Marina Bay Sands, yang dihadiri tetamu terhormat, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Menjelaskan bagaimana jumlah $30,000 ditetapkan sebagai pendapatan isi rumah bulanan median yang ingin dicapai pada 2040, AMP berkata pendapatan isi rumah median bagi masyarakat Melayu pada 2025 adalah sebanyak $8,581, berbanding median nasional sebanyak $12,446.
Kadar pertumbuhan yang diperhatikan bagi tempoh 2020 hingga 2025 adalah sebanyak 6.5 peratus di peringkat nasional, sementara unjuran pendapatan median nasional pada 2040 adalah sebanyak $31,852.
Data masyarakat Melayu digunakan sebagai proksi bagi masyarakat Islam oleh kerana kekurangan data pendapatan peringkat nasional bagi mereka yang beragama Islam, tambah AMP dalam satu kenyataan pada 27 November.
“Aspirasi ini mencerminkan keyakinan AMP bahawa lebih banyak isi rumah mampu mencapai kestabilan kewangan, membina aset dari semasa ke semasa, dan memberi generasi akan datang lebih banyak peluang untuk mengejar cita-cita mereka.
“Setiap isi rumah mempunyai matlamat kewangannya tersendiri, dan AMP akan bekerjasama seiring dengan keluarga ini mengikut kadar kemampuan masing-masing,” kata AMP.
Di bawah Projek 30K, AMP berkongsi bahawa ia akan meluaskan akses kepada bimbingan dan panduan kerjaya, serta terus menyokong golongan rentan seperti keluarga berpendapatan rendah, individu yang perlu melunaskan hutang, dan bekas pesalah, ke arah membina kestabilan kewangan yang lebih kukuh.
Bagi menyokong aspirasi ini, AMP telah melancarkan ‘Pace by AMP’, sebuah platform digital yang menghimpunkan tiga tawaran – ‘AMP Career Conversations’, Persediaan Temuduga Dikuasakan AI, dan ‘AMP EduAccess’ – direka untuk menyokong belia, pelajar pengajian tinggi, dan golongan dewasa bekerja merentasi pelbagai peringkat perjalanan pendidikan dan kerjaya mereka.
‘AMP Career Conversations’ atau Perbualan Kerjaya AMP, dapat menghubungkan individu dengan lebih 200 mentor merentasi 63 bidang profesional seperti kewangan, teknologi, penjagaan kesihatan, dan undang-undang, untuk mendapatkan bimbingan kerjaya yang bersesuaian.
Selain itu, individu yang sedang mencari kerja juga dapat meningkatkan kesediaan dan keyakinan melalui modul pembelajaran interaktif serta latihan simulasi temu duga bersama Pengurus Pengambilan kecerdasan buatan (AI).
‘AMP EduAccess’ pula berfungsi sebagai portal berpusat bagi memudahkan individu meneroka peluang dermasiswa, biasiswa, dan pembiayaan pendidikan yang ditawarkan AMP serta organisasi lain.
Individu boleh mengakses ‘Pace by AMP’ secara percuma di laman pace.amp.org.sg untuk meneroka tawaran tersedia serta mengenal pasti sumber dan sokongan relevan berdasarkan keperluan mereka.
“Dengan menghimpunkan kesemua sumber ini melalui satu portal tunggal, Pace bertujuan menjadikan sokongan dan peluang yang relevan lebih mudah diakses, sekali gus memperkasakan individu untuk membuat pilihan yang tepat serta mengambil langkah bermakna ke arah matlamat mereka,” tambah AMP.