MENYEDIAKAN bantuan asas untuk kehidupan harian selain bantuan memperkasa diri demi jangka panjang.
Bantuan berupa makanan dan program jangka panjang itu disediakan AMPRO untuk golongan memerlukan di luar negara termasuk Afrika, India, Pakistan dan Timur Tengah.
Berkongsi tentang projek kemanusiaan mereka kepada Berita Harian, Setiausaha Korporat Ampro Holdings dan Ampro Foundation, Cik Dinah Musa, berkata:
"Kita di Singapura bernasib baik. Walaupun menghadapi kemerosotan ekonomi, hidup kita terjamin.
"Rata-rata mereka yang memerlukan, yang hidup di bawah paras kemiskinan, yang terjejas oleh konflik dan kemelut ekonomi kebanyakannya penduduk di luar Singapura.
"Hakikat ini yang mendorong AMPRO merentas sempadan dan menolong mereka yang menderita - di kawasan yang sangat terjejas - Timur Tengah, Afrika, Pakistan, Myanmar dan Indonesia," katanya.
Untuk bantuan kemanusiaan tahun ini, AMPRO memperkenal projek Insaniyah Ramadan 2022 yang bertujuan membantu golongan sedemikian dengan pakej bantuan yang memberi tumpuan kepada bantuan asas untuk kehidupan harian serta bantuan memperkasa diri.
Di bawah bantuan asas, golongan memerlukan mendapat sokongan berupa makanan buat jangka singkat.
AMPRO menyediakan pek makanan untuk menampung keperluan satu keluarga sepanjang Ramadan kali ini.
"Golongan yang kami sasarkan adalah penduduk di Palestin, Yaman, Lebanon, Myanmar dan Indonesia.
"Daripada negara tersebut, Yaman dilaporkan paling terjejas dengan krisis kemanusiaan paling kritikal.
"Khusus untuk penduduk Yaman, kami sediakan pakej iftar," ujarnya.
Di bawah bantuan perkasa diri pula, program jangka panjang yang disediakan dijangka dapat memulihkan kehidupan mereka yang terkesan akibat krisis dan konflik yang melanda negara mereka, atau terjerat dalam lingkaran kemiskinan.
Antaranya termasuk:
Memulihkan kebun buah zaitun. Pada masa ini, dianggarkan sekitar 1,500 pohon zaitun yang ditanam pada 2019 dengan 2020 telah membesar. Di bawah program kendalian AMPRO, pekebun di sana mendapat taklimat berkaitan teknik berkebun yang lebih baik, penyaluran air yang betul dan lain-lain lagi.
Sebuah kedai buat roti kini sedang dibangunkan dan dijangka menjadi sumber makanan serta pendapatan mereka di Yaman.
Sebuah projek yang sedang memantau kesihatan wanita hamil dan sedang menyusukan bayi juga sedang dikendalikan. Hasil lawatan pihak perubatan akan mengenal pasti mereka yang terjejas dan diletakkan di bawah program pemakanan berkhasiat buat jangka masa panjang.
Melengkapkan kemahiran menulis dan membaca menerusi sistem persekolahan juga sedang dilaksanakan.
PROGRAM BANTUAN KEMANUSIAAN AMPRO
Sertai Program Bantuan Kemanusiaan AMPRO.
Beli pakej-pakej dengan mengisi dan memuat turun borang di laman amprofoundation.com.
Keterangan lanjut, lungsuri amprofoundation.com; Facebook/ampro.qurban; atau hubungi talian 9711-2824.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg