MANTAN pemegang jawatan politik, Encik Amrin Amin, telah berpindah ke sektor teknologi dan akan menyandang jawatan di dua firma setempat setelah keluar daripada politik berikutan Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020) baru-baru ini.

Beliau telah dilantik sebagai pengarah strategi di firma robotik dan automasi Platform for Bots and Automation (PBA) dan penasihat bukan eksekutif di firma kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan data ADERA Global. Tugasnya akan bermula secara rasmi pada 14 September. Encik Amrin, yang berpengalaman sebagai peguam, menyandang jawatan Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan) dan merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang sebelum GE2020. Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Sengkang itu tersingkir selepas pasukannya tewas di tangan pasukan Parti Pekerja (WP) dalam pilihan raya itu. Dalam satu catatan Facebook pada Ahad (6 September), Encik Amrin, 42 tahun, berkata beliau tidak sabar untuk memulakan fasa kehidupan yang seterusnya bagi mengembangkan potensinya melebihi perundangan dan pemerintah. "(Saya) Menyertai industri teknologi yang sedang hangat dan dua perusahaan berpotensi yang mempunyai harapan pada fasa perluasan setempat dan serantau yang mengujakan," tulisnya. Encik Amrin menambah yang beliau tidak menyesal bertanding di Sengkang.

"Tiada penyesalan kerana ia adalah satu penghormatan besar untuk bersaing bagi antara pertempuran paling sengit untuk parti dan mempertahankan apa yang saya percayai. "Dan ia adalah antara keistimewaan dan penghormatan terbesar dalam hidup saya untuk berkhidmat sebagai AP anda," tulisnya yang menjadi AP pada 2015.