Topic followed successfully
Go to BHkuAmtas: Jemaah SG dijangka tidak terjejas dengan syarat usia visa umrah
Amtas: Jemaah SG dijangka tidak terjejas dengan syarat usia visa umrah
Amtas: Jemaah SG dijangka tidak terjejas dengan syarat usia visa umrah
JEMAAH Singapura yang ingin menunaikan umrah tidak perlu bimbang dengan syarat usia baru terkini yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi kerana ia hanya dilaksana bagi pemegang visa umrah ke negara itu, kata presiden Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas) Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Tengku Mahid Jumat.
Ini kerana selain menggunakan visa umrah, jemaah dari Singapura juga boleh pergi ke Saudi dengan menggunakan visa ziarah dan melaksanakan umrah ketika berada di sana, ujar beliau, menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) menyusuli pengumuman Kementerian Umrah dan Haji Arab Saudi untuk mengehadkan penggunaan visa umrah kepada jemaah berusia antara 18 tahun dengan 50 tahun sahaja.
Ustaz TM Fouzy berkata jemaah Singapura usah khuatir terhadap peraturan itu kerana Singapura merupakan antara negara yang ditawar pilihan menjalankan umrah menerusi visa ziarah.
Ini selain syarat yang menuntut semua jemaah luar negara divaksin sepenuhnya menggunakan vaksin yang diiktiraf oleh Saudi.
"Bagi negara-negara yang gunakan visa umrah, mereka tertakluk kepada syarat yang telah dilaporkan itu," ujar Ustaz TM Fouzy, yang berkata Singapura antara beberapa negara yang jemaahnya dibenarkan memasuki Saudi dengan visa ziarah dan selanjutnya melaksanakan umrah.
"Justeru, jemaah Singapura dapat melakukan umrah tanpa had umur dengan visa ziarah, selagi mereka memenuhi syarat vaksinasi itu," tambahnya lagi.
Sementara itu, pengarah urusan Jalaluddin Travel & Services, Ustaz Jalaluddin Hassan menyatakan keberangkatan umrah bagi jemaah umrahnya masih berjalan lancar.
Namun, dihubungi BH kelmarin, beberapa agensi pelancongan seperti Shahidah Travel & Tours, Hamidah Travel & Tours dan Sha Travel & Tours berkata mereka belum menerima sebarang kenyataan rasmi dari pihak Saudi.
Sebelum ini, akhbar ini telah melaporkan peruntukan berbeza bagi jemaah yang menggunakan visa umrah dengan jemaah yang menggunakan visa ziarah.
Sebagai contoh, jemaah yang memegang visa umrah dijamin sekurang-kurangnya satu slot melaksanakan umrah di Masjidil Haram di Makkah, selain slot ziarah nabi dan ziarah ke Raudah di Masjid Nabawi di Madinah.
Sebaliknya, jemaah yang memegang visa ziarah perlu menempah permit untuk melaksanakan kegiatan yang sama menerusi aplikasi yang disediakan oleh kerajaan Saudi.
Antara lain, jemaah perlu mengemukakan sijil vaksinasi yang diiktiraf dan disahkan untuk menempah slot ibadah melalui aplikasi Eatmarna itu dan aplikasi Tawakkalna untuk sebelum dibenarkan masuk tempat tertentu.
Kerajaan Arab Saudi, sejak Ogos lalu telah membuka sempadannya kepada jemaah warga asing yang sudah divaksinasi sepenuhnya untuk menjalankan umrah di Madinah dan Makkah.
Ia telah turut melonggarkan beberapa sekatan termasuk membolehkan jemaah solat berjemaah tanpa jarak selamat.
Namun, semua jemaah masih perlu memakai pelitup semasa berada di masjid.
"Bagi negara-negara yang gunakan visa umrah, mereka tertakluk kepada syarat yang telah dilaporkan itu. Justeru, jemaah Singapura dapat melakukan umrah tanpa had umur dengan visa ziarah, selagi mereka memenuhi syarat vaksinasi itu." - Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Tengku Mahid Jumat, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas).


