Anak-anak yatim Darul Ihsan teroka bidang sains, kenali warisan dalam kegiatan anjuran mahasiswa Islam SIT, SUTD
Anak-anak yatim Darul Ihsan teroka bidang sains, kenali warisan dalam kegiatan anjuran mahasiswa Islam SIT, SUTD
Lebih 20 anak-anak dari Rumah Anak Yatim Darul Ihsan berpeluang belajar membina prototaip robot ringkas dan membuat eksperimen di makmal kimia hasil bimbingan sekumpulan mahasiswa Melayu/Islam di Institut Teknologi Singapura (SIT) dan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) baru-baru ini.
Malah, mereka juga berpeluang mencuba warisan Melayu serta berjalan-jalan di kampus-kampus SIT dan SUTD sebagai sebahagian dari program pendedahan selama dua hari yang dianjurkan khusus untuk mereka.
SITTA Society, Persatuan Muslim Universiti Teknologi dan Rekabentuk Singapura (SUTDMS), dan Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) telah bersatu tenaga menganjurkan program itu.
Inisiatif ini bertujuan untuk meluaskan ufuk pemikiran para penghuni dengan memberikan pendedahan secara praktikal kepada bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) yang khusus, kerjaya dalam bidang kesihatan, serta seni persembahan tradisional Melayu, satu peluang yang jarang didapati dalam kurikulum sekolah biasa.
Pada hari pertama, mereka menyertai bengkel robotik bertajuk “Build-a-Bot” di SUTD. Para peserta diperkenalkan kepada Rangka Kerja Reka Bentuk Double Diamond serta konsep asas kejuruteraan melalui aktiviti secara praktikal.
Mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk meneroka idea, mereka bentuk dan membina prototaip robot ringkas menggunakan pengenalan kepada elektronik, litar dan logik kawalan.
“Kami benar-benar kagum dengan sifat ingin tahu, kreativiti dan kebolehan anak-anak dari Rumah Anak-Anak Yatim Darul Ihsan. Penghuni yang lebih muda juga mampu memahami konsep kejuruteraan dan reka bentuk dengan cepat, dan semangat serta keghairahan mereka untuk belajar menjadikan pengalaman ini amat bermakna buat pasukan kami,” ujar Cik Ayra Mohammed, presiden kelima SUTDMS.
Pada hari kedua, mereka meneroka kampus dan warisan budaya di SIT dalam kegiatan Penerokaan Kampus SIT (SIT Campus Discovery Trail) yang dikendalikan oleh SITTA Society.
Melalui acara itu, mereka berpeluang menyelami peranan pelbagai profesional:
● Sains & Inovasi: Menjalankan eksperimen penunjuk pH warna di makmal kimia.
● Sains Kesihatan: Mengikuti simulasi perjalanan pesakit untuk melihat bagaimana pelbagai peranan dalam bidang kesihatan bekerjasama.
● Teknologi: Melawat Makmal Prototaip Project Hub serta Makmal Kuasa dan Tenaga SIT.
Pada sebelah petang pula, kegiatan ditumpukan terhadap aspek identiti dan warisan.
Dewan Serbaguna (MPH) SIT dimeriahkan dengan persembahan dan gerai interaktif daripada badan-badan seni budaya Melayu-Islam SIT, termasuk SIT Silat, SIT WAU!MCS, Kesenian Lestari Arjuna (Tarian Melayu), dan SIT Dikir Barat.
“Ini adalah pengalaman yang membuka mata saya untuk melihat pelbagai kursus yang ada... Saya belajar tentang apa yang perlu saya sediakan untuk masa depan, contohnya tugas sebenar seorang jururawat,” kata seorang penghuni yang ditemui.
Seorang lagi peserta menyatakan kegembiraan dalam sesi sains: “Saya tidak tahu bahawa kita boleh mencampurkan pelbagai bahan untuk tukar warna cecair. Sesi makmal kimia sangat menarik!”
Para penganjur mahasiswa turut menyifatkan program ini sebagai wadah bimbingan masyarakat yang penting.
Cik Nur Husnina Rozaini, Naib Presiden keenam SITTA Society menyatakan interaksi yang dilakukan bersama para penghuni itu cukup bermakna.
Cik Imanina Mohamed Zalaini, salah seorang Pengarah Acara SITTA Society, pula menambah: “Melalui lawatan sekolah ini, kami berhasrat untuk mencipta pengalaman yang menyeronokkan dan bermakna bagi kanak-kanak ini, untuk meneroka laluan pendidikan dan kerjaya di luar daripada apa yang biasa mereka mengetahui di sekolah.’’
Kegiatan yang diadakan bersama antara SITTA Society dan SUTDMS diadakan buat julung-julung kali yang membolehkan mereka menggabungkan bengkel teknikal dan penghayatan budaya.
Kedua-dua badan pelajar berjaya membe pengalaman holistik yang menjadi sebagai pendorong bagi kanak-kanak Darul Ihsan untuk memupuk impian yang melangkaui batasan dan wawasan semasa mereka.
Persatuan SITTA ialah sebuah organisasi diterajui oleh mahasiswa di SIT. Berpegang kepada visi untuk “Menjadi Insan Berhati Mulia” (Becoming People of the Heart), misi mereka bagi penggal ini adalah “untuk bertindak dan bermuhasabah, dalam berbakti kepada masyarakat.” Mereka berusaha untuk memupuk semangat kemasyarakatan serta pembangunan profesional dalam kalangan mahasiswa Islam sambil memberikan impak positif yang berterusan kepada masyarakat Singapura.
SUTDMS pula menumpukan kepada pembentukan persekitaran yang menyokong mahasiswa di SUTD, dengan mempromosikan inovasi, pemikiran reka bentuk, dan tanggungjawab sosial.

