Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnak pulau bimbang pembangunan jejas keindahan alam, marin Semakau
Anak pulau bimbang pembangunan jejas keindahan alam, marin Semakau
Sebagai seorang anak pulau, beliau pernah membesar di dua pulau di kawasan barat Singapura, iaitu Pulau Bukom dan Pulau Semakau.
Bekas penduduk pulau itu, Encik Mohamad Yusof Tisari, menetap di Pulau Bukom sehingga berusia empat tahun sebelum berpindah ke Pulau Semakau, tempat beliau tinggal sehingga berusia 10 tahun bagi memberi laluan kepada pembangunan Pulau Bukom.
Namun, beliau tidak menyangka Pulau Semakau juga bakal berdepan nasib yang sama seperti Pulau Jurong, tempat beliau kini bekerja dalam bidang logistik sejak hampir 26 tahun lalu, sekitar 2000.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dalam Rapat Hari Kebangsaan pada 23 Ogos mengumumkan projek untuk menggabungkan beberapa pulau di barat Singapura bagi menyokong pelancaran industri baharu, seperti yang pernah dilakukan pada Pulau Jurong dahulu.
Maka tidak hairanlah Encik Yusof, 59 tahun, berasa sedih ketika pengumuman tersebut dibuat.
“Ini terasa seperti deja vu (perasaan yang dialami oleh seseorang seolah-olah sudah pernah berlaku sebelum ini), kerana dulu keluarga saya pernah dipindahkan dari Pulau Bukom ke Pulau Semakau akibat kerja pembangunan.
“Kini, pulau yang serba indah itu (Pulau Semakau) berdepan satu lagi masa depan yang tidak pasti,” kongsinya.
Encik Yusof turut akur bahawa kerja pembangunan di pulau tersebut telah membawa manfaat pada negara dan juga kemajuan kepada masyarakat pulau.
Namun, beliau juga risau tentang keindahan Pulau Semakau yang mungkin akan terjejas dengan kerja pembangunan.
“Sejak kami pindah ke tanah besar, saya rasa kehidupan marin dan terumbu karang telah banyak berubah dan banyak usaha dijalankan untuk menghidupkan ekosistem di sana.
“Saya khuatir jika keindahan ini terjejas dengan usaha pembangunan,” tambahnya.
Mengimbau tentang zaman membesar di Pulau Semakau, beliau berkata ketenangan di Pulau Semakau merupakan satu ciri yang akan beliau rindui.
“Kehidupan di pulau sangat tenang kerana kami berpeluang meluangkan masa bersama alam semula jadi, bermain dengan bebas sambil meneroka pulau itu,” kata Encik Yusof yang menetap di Pulau Semakau bersama ibu bapa dan tiga beradik lagi, manakala lima lagi beradiknya telah berpindah ke tanah besar untuk bekerja.
Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan adalah apabila air pasang kerana beliau dapat bermain air bersama rakannya dengan selamat dan melihat kehidupan marin seperti ikan dengan lebih dekat.
Kehidupan masyarakat pulau yang begitu meriah juga terpahat dalam memorinya.
Menurut Encik Yusof, kehidupan di Pulau Semakau sentiasa diisi dengan aktiviti menarik seperti pesta sukan, perlawanan bola sepak antara pulau lain, serta lawatan pengunjung dari pulau lain termasuk Kepulauan Riau, Indonesia, untuk berdagang.
Menurut Encik Yusof, kehidupan di Pulau Semakau sentiasa meriah dengan pelbagai kegiatan menarik, termasuk pesta sukan, perlawanan bola sepak antara pulau serta kunjungan pedagang dari pulau-pulau di sekitarnya, termasuk dari Kepulauan Riau, Indonesia.
Beliau turut berkongsi bahawa pernah ada perlawanan bola sepak antara Pulau Sudong dan Pulau Semakau yang disambut baik oleh penduduk kededua pulau itu.
“Pada ketika itu, perlawanan itu diadakan di satu padang sekolah di Pulau Semakau dan kami berpusu-pusu ke padang itu untuk bersorak kerana perlawanan itu dianggap sebagai satu perjumpaan antara ‘dua musuh ketat’,” singkap Encik Yusof.
Walaupun anak pulau itu tidak lagi menetap di Pulau Semakau dan kehidupan masyarakatnya semakin lenyap ditelan arus pembangunan, beliau berharap keunikan pulau itu dapat terus dipelihara untuk generasi akan datang.
“Mungkin kita boleh mengekalkan ciri-ciri unik pulau itu, termasuk seni binanya, kerana ia membentuk identiti Pulau Semakau dan menjadi sebahagian daripada sejarah kita,” tambah beliau.
“
Kehidupan di pulau sangat tenang kerana kami berpeluang meluangkan masa bersama alam semula jadi, bermain dengan bebas sambil meneroka pulau itu.
