Ancaman Covid-19 masih ada, kekal waspada jaga SMM: Faishal
Ancaman Covid-19 masih ada, kekal waspada jaga SMM: Faishal

ANCAMAN Covid-19 masih berleluasa dan orang ramai masih perlu berwaspada. Mengingatkan masyarakat tentang hal demikian, Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim menulis di Facebook hari ini (24 Mac).
"Kita diingatkan tentang hakikat itu baru-baru ini apabila sebuah dewan perkahwinan yang terkenal diarah tutup kerana melanggar SMM (langkah pengurusan selamat).
"Sebagai satu masyarakat, ayuh saling membantu satu sama lain dalam memastikan kegiatan yang kita lakukan dijalankan dalam cara yang selamat dan bertanggungjawab," tulis Dr Faishal.
Beliau akur sejak Fasa 3 pembukaan semula tahun lalu, warga Singapura telah membuat kemajuan yang baik dalam menyokong penyambungan semula kegiatan sosial sambil mematuhi SMM.
"Saya berbesar hati dengan semangat dan kemampuan menyesuaikan diri yang ditunjukkan oleh masyarakat Melayu/Islam sedang kita menyesuaikan diri dengan kehidupan dalam suasana Covid-19.
"Kita terus mengamalkan tanggungjawab sosial dan tidak membiarkan keadaan melemahkan keghairahan kita, termasuk kebahagiaan yang datang bersama detik-detik penting kehidupan seperti pernikahan.
"Bagi diri kita dan juga orang tersayang, ayuh terus kekal sihat dan selamat," tambah beliau.

