Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Andalus optimum teknologi untuk pendidikan agama

Membina generasi berilmu dan siap siaga sentiasa 
Dec 21, 2024 | 5:30 AM
Pengurus Kanan di Andalus cawangan Timur, Ustazah Zulaikha Ishak, bersama seorang pelajar ketika Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang yang berlangsung pada Mac 2024.  
Pengurus Kanan di Andalus cawangan Timur, Ustazah Zulaikha Ishak, bersama seorang pelajar ketika Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang yang berlangsung pada Mac 2024.   - Foto ANDALUS CORPORATION PTE LTD

Bermula daripada sebuah bilik darjah pada 1996 di Bukit Batok, Andalus telah berkembang menjadi sebuah institusi yang terus mengutamakan kemajuan teknologi, mengikut perubahan zaman dengan 16 cawangan dan satu cawangan dalam talian di seluruh Singapura.

Dengan pendekatannya yang inovatif terhadap pendidikan, institusi ini menggunakan kaedah pembelajaran secara fizikal, gabungan fizikal dan dalam talian ke arah memastikan fleksibiliti dan kebolehcapaian untuk pelajar daripada semua peringkat umur. Bahan kajian tersedia dalam format bercetak, digital dan animasi, memenuhi gaya pembelajaran yang pelbagai.

Sehingga kini, 12,000 pelajar telah mendapat manfaat daripada program pengajian komprehensif merangkumi program prasekolah hingga peringkat diploma lanjutan.

Sejak 2019, semua bilik darjah telah dilengkapi dengan komputer, Internet jalur lebar, rangkaian wi-fi dan TV LED. Daya usaha ini dipercepatkan semasa pandemik Covid-19 bagi memastikan pembelajaran tidak terganggu.

Kesemua 120 tenaga pekerja dan asatizah telah disediakan dengan komputer riba, latihan dan diberi penerangan secara konsisten untuk menyesuaikan diri secara lancar dengan perubahan terkini.

Pengurus Kanan di Andalus cawangan Timur, merangkumi cawangan-cawangan Tampines I dan II, Bedok Reservoir, Kingston Terrace dan Guthrie Building, Ustazah Zulaikha Ishak, 41 tahun, berkata penambahbaikan yang berlaku telah melancarkan lagi tugas pengurus dan asatizah.

“Penerimaan pertemuan dan perbincangan dalam talian sudah menjadi kebiasaan masa kini, dan dengan adanya kemudahan komputer riba, ia dapat memudahkan penyampaian komunikasi, pertukaran pendapat dan pandangan merentasi tempat dan masa,” katanya.

Menekankan kepentingan kerjasama, Ustazah Zulaikha akur sokongan daripada keluarga dan dedikasi asatizah telah memainkan peranan penting dalam kemajuan ini.

“Dunia sentiasa berubah, begitu juga dengan keperluan pelajar. Dengan mengintegrasikan teknologi dalam pengajaran, pembelajaran menjadi lebih menarik dan interaktif. Malah ia dapat meningkatkan motivasi dan minat pelajar.

“Sistem pengajaran boleh memainkan peranan utama dalam membentuk individu yang berdaya saing, bermaklumat dan berintegriti,” katanya.

Ustaz Fathurrahman Dawoed, Pengarah Eksekutif, Divisyen Pendidikan, menekankan bahawa kekuatan Andalus terletak pada penerimaan positif oleh asatizah, pelajar dan ibu bapa.

“Usaha kami selari dengan perkembangan semasa, memastikan pendidikan kekal relevan dan memenuhi keperluan pelajar daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pada peringkat antarabangsa.

“Langkah ini juga selaras dengan visi Andalus untuk menjadi institusi pendidikan Islam yang relevan dan berdaya tahan dalam era digital,” katanya.

Sokongan positif daripada ibu bapa menjadi bukti kejayaan transformasi ini.

Seorang ibu kepada dua anaknya yang menghadiri kelas pendidikan Andalus di Tampines I, Cik Siti Baizura Mohamed Sharif, 43 tahun, berkata beliau teruja melihat anak-anaknya menggemari pembelajaran di Andalus termasuk mata pelajaran Sejarah, Fikah, Akidah dan pembacaan Al-Quran dengan Tajwid:

“Andalus telah menjalankan tugas luar biasa dengan menyepadukan teknologi ke dalam pendekatan pendidikan agamanya. Dengan menggunakan wadah interaktif dan sumber multimedia, ia menjadikan pembelajaran menarik, dinamik dan boleh diakses oleh minda muda.

“Melihat institusi Islam mahir menggunakan peralatan moden sambil menjunjung nilai tradisional sangat memberi inspirasi. Gabungan lancar teknologi dan pembelajaran berasaskan iman ini membolehkan anak-anak saya terus berhubung secara mendalam dengan Islam dengan cara yang dirasakan relevan, bermakna dan menarik untuk generasi mereka,” kata Cik Baizura yang juga merupakan guru tadika.

Menurut Ustaz Fathurrahman, pendaftaran untuk program dalam talian juga meningkat dengan ketara.

“Mereka menghargai fleksibiliti dan kemudahan akses kepada pembelajaran. Dengan platform ini, anak-anak mereka dapat belajar dalam persekitaran yang lebih menarik, sama ada di rumah ataupun di dalam kelas,” katanya.

Bersandarkan panduan tenaga pengajar, pelajar lebih bersemangat untuk belajar dengan meraih pengalaman yang berbeza, dan bukan hanya di bilik darjah secara fizikal semata-mata. Secara keseluruhan, kemudahan baru ini memberi nilai tambah kepada pendidikan agama dan kesejahteraan pelajar.

Peralihan kepada platform digital bukan tanpa cabaran. Antara isu utama yang dihadapi ialah kekurangan kepakaran dalaman, kos penyediaan dan penyelenggaraan yang tinggi, serta penyesuaian tenaga pengajar atau asatizah. Namun, Andalus berjaya mengatasinya melalui beberapa langkah.

Antara langkah yang diambil ialah mendapatkan nasihat pakar dan menggunakan wadah yang mesra pengguna, dan memberikan latihan khusus kepada asatizah, termasuk program profesional seperti Sijil Profesional dalam Pengajaran dan Pembelajaran Hibrid serta mereka bentuk Pelajaran Dalam Talian Berkesan dengan memanfaatkan daya usaha bantuan pemerintah, termasuk geran SkillsFuture.

Dengan langkah ini, tenaga pengajar semakin yakin menggunakan teknologi, manakala pelajar dapat menikmati proses pembelajaran yang lebih fleksibel dan berkesan.

“Dalam bidang pengajian agama, teknologi membolehkan penyampaian yang lebih jelas dan menarik. Kaedah ini memperkayakan pemahaman pelajar, terutama melalui visualisasi yang membantu mereka memahami konsep dengan lebih mendalam,” tambah Pengarah Eksekutif itu.

Keupayaan asatizah menjadi tunjang kejayaan transformasi ini. Andalus melaksanakan program latihan berstruktur seperti sesi peer learning, pembangunan komuniti praktik (COP) dan kursus profesional untuk memastikan tenaga pengajar dapat memanfaatkan teknologi dengan optimum. Latihan ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran teknologi bahkan memberi keyakinan kepada asatizah dalam menyampaikan pengajaran secara berkesan di platform digital.

Transformasi ini bukan satu usaha sementara. Andalus mempunyai pelan jangka panjang dengan terus mengembangkan platform digitalnya.

“Kami akan meneroka wadah lain dan memastikan peningkatan berterusan dalam teknologi serta kemahiran asatizah,” ujar Encik Fathurrahman.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg