ANGGOTA bomba Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), mendiang Edward H. Go, telah dinaikkan pangkat Sarjan (1) anumerta semalam.
Anggota perkhidmatan negara (NS) sepenuh masa yang berusia 19 tahun itu meninggal dunia semasa cuba melawan api di sebuah flat di Henderson Road Khamis lalu.
Pesuruhjaya SCDF Eric Yap menyifatkan mendiang sebagai anggota bomba yang "berani" dan telah membuat "pengborbanan terbesar" buat negara.
Pemergiannya bukan sahaja memberi kesan kepada SCDF tetapi juga anggota keluarga dan rakan-rakan.
Semalam, keranda Sarjan (1) Go yang ditutup dengan bendera negara dimasukkan ke dalam kenderaan mayat SCDF di Tempat Membakar Mayat dan Menyimpan Abu Mayat Mandai pada 1 petang.
Keranda itu diangkat oleh pegawai Balai Bomba Central, termasuk mereka yang bersamanya memadamkan kebakaran di Henderson Road itu.
Pengusung keranda kemudiannya mengalihkan keranda ke atas pedati yang dihubungkan dengan kenderaan Red Rhino bagi perarakan ke arah dewan bagi upacara pengebumian.
Turut hadir ialah Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dan 250 pegawai SCDF.
Semasa berucap di ibu pejabat SCDF di Ubi semalam, Encik Yap telah menyampaikan takziah kepada keluarga, orang tersayang dan rakan-rakan Sarjan (1) Go.
"Kami akan mengingati sifat Sarjan Edward yang tidak mementingkan diri sendiri, profesionalisme dan komitmennya. Bagi kami yang mengenalinya secara peribadi, mereka akan ingat betapa bangganya beliau menjadi seorang anggota bomba," tambahnya.
"Biarlah Sarjan Edward menjadi inspirasi bagi kita semua dalam SCDF," katanya, sambil menambah bahawa SCDF mempunyai tanggungjawab yang amat diperlukan untuk memastikan Singapura selamat.
Menukil contoh anggota bomba yang terkorban itu, ketua SCDF tersebut berkata orang ramai bergantung kepada pegawai SCDF untuk membantu dalam kecemasan, yang boleh menjadi soal hidup dan mati, lapor akhbar The Straits Times.
Anggota pasukan itu terus mempertaruhkan nyawa mereka apabila satu kebakaran berlaku demi menyelamatkan orang lain, tambahnya.
Beliau akur bahawa mereka berusaha sedaya upaya dalam setiap respons.
"Kami dilatih dengan baik dan dilengkapi sepenuhnya bagi misi kami, dan kami telah melakukan yang baik sebagai satu pasukan.
"Marilah kita terus berkhidmat kepada warga Singapura dengan kebanggaan dan dedikasi, seperti yang dilakukan Sarjan Edward, dan dengan berbuat demikian, menghormatinya dalam ingatan," katanya.
Sarjan (1) Go menyertai SCDF sebagai NSF pada 5 Januari lalu dan memulakan latihannya selama 12 minggu sebagai seorang anggota bomba pada 3 Februari.
Beliau menamatkan latihannya pada 28 April sebelum ditugaskan di Balai Bomba Central pada 4 Mei setelah selesai menjalani kursus anggota bombanya.
Sebelum menjalani NSF, beliau disahkan sihat dari segi perubatan dan dinilai sebagai status A bagi Piawai Status Pekerjaan Fizikal (PES).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg