Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anggota Kerahan NS meninggal dunia selepas rebah di luar Kem Maju

Jul 1, 2025 | 2:08 PM
Seorang Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NSman) yang sebelum ini menghadiri latihan Program Peningkatan Kecergasan NS (NS FIT), disahkan meninggal dunia di hospital selepas rebah di luar Kem Maju pada 30 Jun.
Seorang Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NSman) yang sebelum ini menghadiri latihan Program Peningkatan Kecergasan NS (NS FIT), disahkan meninggal dunia di hospital selepas rebah di luar Kem Maju pada 30 Jun. - Foto fail ST

Seorang Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NSman), meninggal dunia selepas rebah di luar Kem Maju pada malam 30 Jun.

Demikian menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 1 Julai.

Lelaki berusia 30 tahun itu telah menyelesaikan sesi latihan Program Peningkatan Kecergasan NS (NS FIT) di Pusat Latihan Kecergasan Maju antara 6.50 petang dengan 8 malam.

Selepas sesi latihan itu, beliau memberitahu jurulatih kecergasan bahawa dirinya dalam keadaan sihat, dan beliau kemudian dibenarkan keluar dari pusat tersebut, kata Mindef.

Beliau keluar dari Kem Maju, pada 8.11 malam, namun tidak lama kemudian, rebah di luar kem. 

Kejadian itu disaksikan oleh seseorang yang sedang melalui kawasan berkenaan, yang terus menghubungi ambulans.

Mindef berkata Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dimaklumkan mengenai kejadian tersebut pada 8.16 malam, dan ambulans tiba pada 8.25 malam.

Mindef menambah bahawa usaha bantuan pernafasan telah dilakukan di tempat kejadian dan diteruskan semasa perjalanan ke Hospital Universiti Nasional (NUH).

Lelaki itu tiba di hospital sekitar 9 malam dan meskipun rawatan kecemasan telah diberikan, beliau disahkan meninggal dunia pada 9.54 malam, lapor The Straits Times (ST).

Sebagai langkah berjaga-jaga, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) telah menggantung latihan NS FIT buat sementara waktu sehingga 4 Julai bagi menyemak semula prosedur dan protokol keselamatan serta mengingatkan anggota tentera tentang kepentingan menjaga keselamatan diri.

NS FIT ialah program 10 sesi yang menggalakkan anggota kerahan mengamalkan gaya hidup sihat dan bersenam secara berkala. 

Sejak 2021, program itu telah menggantikan komponen latihan pemulihan dan persediaan sukarela bagi Ujian Kecekapan Jasmani Perseorangan (IPPT).

“SAF sedang memberikan sokongan kepada keluarga (NSman) itu dalam saat mereka berduka. Kami merakamkan ucapan takziah yang sedalamnya kepada keluarganya,” kata kenyataan itu.

Siasatan lanjut akan dijalankan bagi menentukan punca kematian.

Memberi penghormatan beliau melalui satu hantaran di Facebook pada 1 Julai, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, berkata:

“Sambil kita memperingati komitmen tidak berbelah bagi para anggota SAF dalam mempertahankan Singapura, keselamatan mereka juga perlu diutamakan.

“Latihan yang selamat kekal menjadi keutamaan utama.

“Hanya dengan anggota SAF yang kuat, barulah kita dapat dilindungi daripada potensi ancaman dan terus bertahan dalam dunia yang kian bergolak dan kompleks,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg