
ANGGOTA perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) dan kakitangan tetap Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Home Team tidak lagi perlu menyerahkan kad pengenalan diri atau NRIC semasa mendaftar bagi Perkhidmatan Negara (NS) dan apabila berkhidmat sepenuh masa.
Mulai 15 Mei, Kementerian Pertahanan (Mindef) akan memansuhkan syarat menyerahkan NRIC mereka yang akan disimpan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka, kata Mindef semalam.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) juga akan memansuhkan syarat serupa, bermula dengan kumpulan NSF yang akan memulakan Perkhidmatan Negara bulan ini.
Dalam kenyataannya, Mindef berkata kad pengenalan tentera masih akan diberikan kepada semua NSF dan kakitangan tetap SAF, kerana ia akan terus "berfungsi sebagai dokumen utama untuk mengenal pasti diri mereka sebagai kakitangan perkhidmatan SAF".
"Kakitangan SAF akan memegang kedua-dua NRIC mereka dan IC tentera mereka pada masa hadapan," tambah Mindef.
NRIC akan dipulangkan kepada semua anggota NSF dan kakitangan tetap secara bertahap-tahap melalui pegawai tenaga manusia unit masing-masing.
Pemulangan kad NRIC dijangka selesai menjelang November tahun ini, menurut MINDEF lagi.
Anggota NSF Home Team yang masih berkhidmat juga akan dipulangkan NRIC mereka secara berperingkat.
Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) akan terus mengeluarkan kad pengenalan NS kepada NSF pasukan tersebut, kerana ia kekal sebagai dokumen utama untuk mengenal pasti NSF mereka, kata Mindef.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg