ANGIN bertiup lebih kencang daripada biasa sejak kebelakangan ini, tetapi keadaan demikian adalah sesuatu yang dijangka, demikian menurut Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS).
"Daripadaa sudut pandangan iklim, Singapura mengalami tiupan angin kencang mengikut kelajuan angin purata pada Januari dan Februari," ujar seorang jurucakap MSS.
Balai iklim Changi merakamkan kelajuan angin purata sekitar tiga meter sesaat pada Januari dan Februari.
Dalam bulan-bulan lain, kelajuan angin purata jangka panjang biasanya tidak melebihi 2.5 meter sesaat.
Keadaan lebih berangin seperti ini biasa berlaku dalam musim tengkujuh timur-laut seperti yang sedang dialami pada masa ini.
Pada musim ini, angin bertiupan dari utara atau timur-laut. Arah tiupan angin ini ditentukan oleh tekanan yang berbeza-beza di udara benua Asia dan Australian.
Benua Asia di hemisfera utara pada masa ini sedang mengalami musim sejuk dan udaranya lebih dingin dan menyebabkan tekanan lebih tinggi.
Sebaliknya, di hemisfera selatan yang sedang mengalami musim panas, sistem udara tekanan lebih rendah berlaku.
Profesor Madya Koh Tieh Yong dari Universiti Sains Kemasyrakatan Singapura (SUSS) berkata keadaan ini menjadi kian ketara apabila perbezaan meluas antara tekanan di kedua-dua hemisfera ini.
"Perbezaan tekanan yang bertambah antara dia hemisfera menyebabkan angin lebih kuat dan lebih kencang, yang boleh bertiup lebih jauh ke selatan dan menyebabkan hujan di kawasan tersebut," kata Profesor Koh, seorang saintis cuaca dan iklim.
"Sehingga Februari, angin yang bertiup ini menjadi lebih kuat sebagaimana yang dirasakan di Singapura," tambah beliau.
Ini sebabnya mengapa Singapura mengalami musim tengkujuh timur-laut menerusi dua fasa.
Ia melalui fasa hujan dari Disember hingga akhir Januari, diikuti fasa 'kering' sehingga awal Mac.
"Ini kerana hujan tengkujuh yang beralih ke selatan sepanjang musim, kata jurucakap MSS, sebagai menjawab soalan The Straits Times.
Profesor Koh berkata lagi fenomena La Nina yang menyebabkan lebih banyak hujan turun di sini, secara purata boleh menyebabkan angin musiman yang lebih kencang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg