Topik diikuti
Pergi ke BHkuAngkat sampah inovatif di sektor Ang Mo Kio-Toa Payoh
Angkat sampah inovatif di sektor Ang Mo Kio-Toa Payoh
PENDUDUK di Bishan, Ang Mo Kio, Serangoon dan Toa Payoh boleh melihat kenderaan angkat sampah inovatif di estet perumahan masing-masing, sebahagian usaha mempertingkat produktiviti dan kemampanan usaha mengangkut sampah awam.
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) semalam berkata kenderaan baru itu akan digunakan untuk mengangkut sampah, barangan untuk dikitar semula dan sisa kebun dan ia dikendalikan oleh syarikat angkat sampah setempat 800 Super.
NEA berkata kenderaan elektrik sedemikian merangkumi hampir 45 peratus kenderaan keseluruhan.
Syarikat tersebut menyediakan 14 kenderaan elektrik, lori yang boleh diisi dari sisi dan empat lori yang mempunyai dua ruang sampah yang diasingkan. Masing-masing boleh digunakan untuk diisi barangan kitar semula dan sisa kebun.
Lori sedemikian boleh mengurangkan perjalanan ulang-alik semasa mengangkut sampah dari kejiranan rumah sebandung kerana hanya satu lori perlu dikerah untuk berbuat demikian, kata NEA.
Lori yang boleh diisi dari sisi pula menawarkan ruang lebih besar untuk mengangkut barangan kitar semula dan boleh dikendalikan oleh seorang pekerja.
Menambah, NEA berkata semua kenderaan 800 Super dilengkapkan dengan sistem kamera pengawasan 360 darjah yang menunjukkan kepada pemandu keadaan di sekeliling kenderaan.
Selain itu, beberapa perubahan inovatif juga diterapkan di kenderaan 800 Super yang dikerah ke sektor Ang Mo Kio-Toa Payoh, kata NEA.
Sektor itu merangkumi Bishan, Ang Mo Kio, Serangoon dan Toa Payoh.
Perubahan ini termasuk mesin pemadat tetap yang akan menggantikan 32 mesin bergerak di pusat sampah.
NEA berkata:
"Berbeza dengan pemadat bergerak yang perlu diangkat secara individu ke loji pembakaran, sampah boleh dikumpulkan dari beberapa mesin pemadat berbeza oleh lori yang sama untuk dibuang."
Pelaksanaan teknologi sedemikian membolehkan 800 Super mengurangkan laluan mengangkat sampah sekitar 11 peratus, kata NEA, sekali gus mengurangkan jejak karbon keseluruhan khidmat angkat sampah.
800 Super juga akan menjalankan dua uji cuba untuk mempertingkat usaha kitar semula dan pengurusan sisa makanan.
Selain memasang sensor di tong kitar semula di estet HDB di sektor Ang Mo Kio-Toa Payoh - untuk mengawasi isi tong dan menambah respons mengangkat sampah - ia juga akan mengumpulkan sisa makanan dari penduduk HDB dalam tempoh percubaan setahun.
Kededua projek ini bermula November ini.
Bagi projek mengumpul sisa makanan, 10 peti simpanan bijak akan dipasang di beberapa blok HDB tertentu di sektor Ang Mo Kio-Toa Payoh.
Isi rumah yang menyertai projek ini akan diberikan kod QR unik dan bekas plastik untuk diisi sisa makanan.
Justeru, mereka boleh meletakkan bekas plastik dalam peti simpanan di kolong blok. Mereka akan menerima 'reward points' - yang boleh ditukar kepada baucar barangan runcit - berdasarkan jumlah makanan yang diisi.
Menurut NEA, jika percubaan ini berjaya, 800 Super akan memasang lagi 83 peti simpanan bijak di blok HDB lain di sektor itu.
800 Super memenangi kontrak angkat sampah awam bagi sektor Ang Mo Kio-Toa Payoh bagi tempoh yang bermula 1 Oktober hingga 2028, menerusi tender terbuka. Ia juga memiliki kontrak angkat sampah di sektor itu sehingga akhir bulan ini.