ANGKATAN Laut Republik Singapura (RSN) dan Angkatan Laut Diraja Thailand (RTN) mengadakan latihan bersama selama 10 hari yang bermula 21 Mac lalu.
Latihan Singsiam itu dirasmikan bersama oleh Komander Armada RSN, Laksamana Muda Saw Shi Tat dan Komander Armada RTN, Laksamana Suvin Jangyodsuk dalam satu majlis di Pangkalan Laut Changi.
Latihan yang diadakan sejak 1981 itu bertujuan meningkatkan gerakan bersama RSN dan RTN menerusi pembangunan prosedur dan amalan bersama.
Ia juga dapat meningkatkan kemahiran gerakan kedua-dua angkatan laut itu dan menggalak interaksi dan persahabatan dalam kalangan kakitangannya.
Latihan tahun ini melibatkan penyertaan tujuh kapal dan pesawat penyerang dan rondaan kelautan daripada RSN dan RTN.
Kapal RSN yang menyertainya termasuk kapal frigat RSS Formidable yang membawa sebuah helikopter angkatan laut S-70B, Kapal Korvet peluru berpandu, RSS Valiant, dan kapal misi kawasan pantai RSS Fortitude.
RTN pula mengetengahkan kapal frigat HTMS Naresuan, HTMS Saiburi dan helikopter laut S-76B, bagi latihan tahun ini.
Sebagai sebahagian daripada latihan laut, kedua-dua tentera laut itu menjalankan beberapa siri latihan keselamatan maritim dan peperangan konvensional di Selat Melaka dan Laut Andaman. Ini termasuk tembakan senjata api, pengawasan maritim serta komunikasi dan siri manuver.
Latihan ini akan menutup tirai dengan satu upacara penutupan di Phuket esok.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg