Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Angkatan udara S'pura, Indonesia selesai latihan udara bersama

Dec 19, 2018 | 5:30 AM
LATIHAN DUA HALA: Mejar Jeneral (MG) Mervyn Tan (tiga dari kiri) dan Marsyal Besar Udara (ACM) Yuyu Sutisna (dua dari kiri) memeriksa perbarisan semasa upacara penutup Latihan Elang Indopura 2018 di Pangkalan Tentera Udara Roesmin Nurjadin di Pekanbaru, Indonesia. - Foto MINDEF
LATIHAN DUA HALA: Mejar Jeneral (MG) Mervyn Tan (tiga dari kiri) dan Marsyal Besar Udara (ACM) Yuyu Sutisna (dua dari kiri) memeriksa perbarisan semasa upacara penutup Latihan Elang Indopura 2018 di Pangkalan Tentera Udara Roesmin Nurjadin di Pekanbaru, Indonesia. - Foto MINDEF -

LEBIH 150 anggota Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dan Angkatan Udara Republik Indonesia (TNI AU) selesai menjalani satu latihan udara dua hala bersama.

Latihan Elang Indopura ke-20 yang diadakan setiap dua tahun itu turut melibatkan 16 pesawat pejuang termasuk F-16C RSAF serta F-16A/B dan Hawk 109/209 TNI AU, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef).

Panglima Tentera Udara RSAF, Mejar Jeneral (MG) Mervyn Tan, dan Ketua Turus TNI AU Marsyal Besar Udara (ACM) Yuyu Sutisna, hadir pada acara penutup Latihan Elang Indopura itu di Pangkalan Tentera Udara Roesmin Nurjadin di Pekanbaru, Indonesia, kelmarin.

Mengulas tentang edisi ke-20 latihan tersebut sejak ia diperkenalkan pada 1980, MG Tan berkata:

"Sepanjang tempoh ini, kami telah beralih daripada mengendali pesawat pejuang F-86 Sabre dan Hawker Hunter dalam misi yang mudah kepada mengendali pesawat Hawk dan F-16 bersama dalam senario yang lebih rumit.

"Amat menggalakkan melihat bagaimana kami telah berkembang bersama dan pencapaian kami sejauh ini."

Latihan Elang Indopura merangkumi dua fasa.

Fasa pertama merupakan latihan pusat perintah yang berlangsung di Pangkalan Udara Paya Lebar (PLAB) dari 7 hingga 9 November.

Fasa kedua pula merupakan latihan di udara yang berlangsung di Pangkalan Tentera Udara Roesmin Nurjadin dari 4 hingga 17 Disember.

Menurut Mindef, latihan itu merupakan wadah yang baik untuk mempertingkat tahap profesionalisme dan keupayaan saling kendali antara kedua-dua angkatan udara itu.

Tambahnya, latihan dua hala itu juga menekankan hubungan pertahanan dua hala yang erat dan sudah lama terjalin antara Singapura dengan Indonesia.

Selain mengadakan latihan dua hala, RSAF dan TNI AU kerap berinteraksi antara satu sama lain menerusi pelbagai kegiatan.

Ini termasuk menghadiri kursus bersama, mengikuti program pertukaran profesional dan berkunjung ke negara satu sama lain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg