Lebih 150 jemaah haji yang mengikuti TM Fouzy Travel dan Noor Mohamad Services telah pulang ke Singapura pada Rabu.
Ini merupakan kumpulan jemaah yang kedua terakhir pulang ke tanah air, dengan baki 100 lagi jemaah haji Singapura bakal pulang pada 22 Julai.
Kepulangan mereka disambut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi, diiringi Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Saat A. Rahman, dan Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen.
“Senang hati saya melihat usaha-usaha Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) termasuk ejen-ejen haji dan umrah kita yang sentiasa menjaga kesejahteraan para jemaah kita.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Dr Tawfiq Al-Rabiah, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, atas pengiktirafan khidmat cemerlang SPAO dan juga kerana berjaya menjalankan operasi haji dengan sebaiknya pada tahun ini,” kata Encik Masagos.
Bulan lalu SPAO diiktiraf oleh Kerajaan Arab Saudi dengan Anugerah Labbaitum atas kejayaan SPAO menyediakan perkhidmatan yang cekap serta inisiatif bermutu dan kreatif kepada jemaah haji Singapura pada musim haji ini.
Encik Saat, selaku ketua delegasi haji Singapura, dan Encik Kadir, selaku Ketua SPAO, berada di Arab Saudi dari 19 Jun hingga 15 Julai untuk mengetuai jemaah haji Singapura dan menerima anugerah itu.
Mereka disertai 29 anggota SPAO yang dikerah untuk memberi perkhidmatan perubatan dan kebajikan kepada jemaah haji Singapura di sana.
Sebanyak 900 kuota rasmi telah diperuntukkan oleh Kerajaan Arab Saudi bagi jemaah Singapura tahun ini. Negara itu menjemput ketibaan bilangan jemaah terbesar sejak penularan Covid-19.
Menurut pegawai Arab Saudi, lebih 2,000 jemaah mengalami tekanan hawa panas semasa mengerjakan ibadah haji dengan suhu mencecah 48 darjah Celsius.
Antara yang pulang ke Singapura pada Rabu ialah pasangan suami isteri Encik Buang Mohd Razib Sapieh, 68 tahun, dan Cik Zainah Abdul Jabar, 62 tahun.
Melahirkan rasa gembira dapat menunaikan ibadah haji buat kali pertama, Encik Buang berkata: “Memang ramai sangat orang. Cuaca di sana memang panas, lebih-lebih lagi di Arafah. Tapi kami tetap tempuhinya dengan semangat. Alhamdulillah.”
Satu lagi pasangan, Encik Zulkifli Mohamed Rosli, 68 tahun, dan Cik Samania Asber, 65 tahun, turut melahirkan rasa gembira dapat menunaikan ibadah haji meski berdepan dengan cuaca yang amat mencabar.
“Pengalaman saya dan isteri menunaikan Haji di Makkah penuh ujian dan cabaran, terutama waktu melontar jamrah – jalan sejauh 5 kilometer dari Mina dengan cuaca begitu panas. Namun, kami tetap bersyukur.
“Saya tidak dapat berjalan untuk tawaf Kaabah dan terpaksa menggunakan kerusi roda. Alhamdulillah, ada pegawai bantu,” kata Encik Zulkifli.
Seorang jemaah haji Singapura, Cik Wan Bee Mohamed Gousmia, 61 tahun, meninggal dunia di Hospital Alwadi Mina pada 27 Jun akibat serangan jantung.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg