ENCIK Subhan Nazar berada di pusat beli-belah VivoCity bersama rakan-rakannya apabila beliau ternampak seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Semasa di dalam kedai pakaian Cotton On, beliau melihat lelaki itu berada di kawasan khas untuk pakaian wanita dan kerap memandang ke kiri dan ke kanan.
"Saya ternampak dia mengambil sepasang sandal dan menyimpannya di dalam begnya," kongsi lelaki berusia 38 tahun itu.
Tanpa berlengah, Encik Subhan bersama dua rakannya menunggu sehingga lelaki tersebut keluar daripada kedai sebelum mendekatinya.
"Untuk (mengesahkan) kecurian telah dilakukan, orang itu perlu meninggalkan kedai tanpa membuat bayaran," ujar pegawai pencegahan kehilangan barang pasar raya NTUC FairPrice itu yang berpengalaman 15 tahun lamanya.
Setelah membawa lelaki itu ke pejabat Cotton On, beliau dipercayai telah mengambil lebih 30 barang daripada kedai tersebut yang jumlahnya sekitar $500.
Walaupun sudah biasa mengenal pasti kecurian sebagai sebahagian kerjayanya, Encik Subhan berkata kejadian itu berlaku pada hari beliau sedang bercuti dan beliau bertindak sebagai anggota awam yang prihatin.
"Ada yang berfikiran jika mereka bukan (pengawal) keselamatan, mereka tidak boleh menahan sesiapa...tetapi sebenarnya orang awam pun boleh memainkan peranan," ujarnya.
Semalam, Encik Subhan merupakan salah satu antara enam penerima Anugerah Semangat Kemasyarakatan. Beliau diiktiraf di Divisyen Polis Clementi dan menerima angu daripada komander divisyen tersebut, Penolong Pesuruhjaya Polis (AC) Marc E.
Selain Encik Subhan, Encik Vinodh Rajendran, 31 tahun, dan Cik Ramizah Abdul Rahman, 32 tahun, menerima anugerah itu kerana membantu polis dalam kes cabul kehormatan. Mereka sedang keluar makan malam apabila ternampak seorang lelaki berumur 40an tahun menyerang seorang wanita di Ulu Pandan Park Connector.
"Pada mulanya saya menyangka mereka pasangan yang sedang bermesra di tempat itu. Tetapi apabila mendengar jeritan wanita itu minta pertolongan, saya berasa terkejut kerana tidak sangka kejadian seperti itu berlaku di Singapura.
"Apabila lelaki itu cuba melarikan diri, saya tidak teragak-agak untuk mengejarnya," ujar Encik Rajendran yang merupakan seorang cef.
Cik Ramizah, yang tidak dapat menghadiri majlis penyampaian anugerah itu, menghubungi polis sementara Encik Rajendran menahan lelaki tersebut hingga polis tiba.
Tiga lagi penerima anugerah itu ialah Encik Benedict Ng Sheng Chao, yang meleraikan pertengkaran antara seorang lelaki yang dilarang masuk ke pusat penjaja dengan duta jarak selamat, dan Encik Alagar Ravi serta Encik Lim Wei Hao, yang membantu polis dalam kes kecurian.
Sementara itu, Anugerah Perkongsian Masyarakat diberi kepada tiga pertubuhan - Fairprice Xtra di Vivo City; Shopee Singapore dan Resorts World Sentosa - kerana membantu polis dalam pelbagai operasi keselamatan dan usaha memerangi penipuan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg