Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anugerah penumpang prihatin dinama semula bagi iktiraf sumbangan Richard Magnus

Jun 18, 2022 | 5:30 AM
218dddec-0431-4206-8689-aacaf0d470b3
-

BELIAU dikenali sering memperjuangkan keprihatinan penumpang.

Kini anugerah yang mengiktiraf pengguna pengangkutan awam yang menunjukkan keprihatinan kepada yang lain dalam perjalanan harian mereka telah dinamakan semula sebagai Anugerah Richard Magnus untuk Penumpang Prihatin Cemerlang.

Ini bagi menghormati sumbangan mendiang Encik Magnus, mantan Pengerusi Majlis Pengangkutan Awam (PTC) dan pengerusi Jawatankuasa Penumpang Caring SG.

Mengumumkan perubahan itu semalam, Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran, berkata penamaan semula Anugerah Penumpang Prihatin Cemerlang mengiktiraf sumbangan Encik Magnus dalam membina pergerakan Penumpang Caring SG.

Bercakap semasa acara Penumpang Caring SG di Enabling Village di Bukit Merah kelmarin, Encik Iswaran berkata keterangkuman adalah teras kepada sistem pengangkutan awam yang baik.

"Tidak kira latar belakang, umur dan kebolehan mereka, penumpang mesti menikmati perjalanan yang lancar dan selesa dalam sistem pengangkutan awam kita," tambahnya.

Walaupun banyak inisiatif sejak beberapa tahun telah dilaksanakan, seperti akses kerusi roda dalam bas dan sistem peningkatan pendengaran di pusat perkhidmatan penumpang di stesen kereta api dan bas, Encik Iswaran berkata keterangkuman bukan hanya mengenai infrastruktur dan aset, tetapi juga mengenai orang ramai.

Beliau menambah bahawa Encik Magnus, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 14 Mac pada usia 77 tahun, merupakan juara keterangkuman yang besar.

"Encik Richard Magnus adalah seseorang yang sentiasa berusaha untuk menjadikan sistem pengangkutan awam kita lebih inklusif.

"Saya mendapat penghormatan untuk mengenali dan bekerja dengannya selama beberapa dekad. Beliau sentiasa menyatukan orang ramai untuk menjaga satu sama lain," kata Encik Iswaran.

Encik Magnus merupakan pengerusi PTC dari 2014 hingga 2022, dan pengerusi pertama Jawatankuasa Penumpang Caring SG dari 2020 hingga 2022.

Jawatankuasa itu pada November lalu melancarkan laporan Perjalanan Prihatin Kami yang mencadangkan penambahbaikan kepada infrastruktur dan tingkah laku penyayang yang boleh diamalkan penumpang.

PTC juga melancarkan Anugerah Komuter Prihatin pada 2019 di bawah kepemimpinan beliau.

Encik Iswaran berkata: "Saya berharap anugerah itu menjadi inspirasi kepada penumpang untuk melambangkan etos keprihatinan Richard dan mendorong mereka membantu penumpang lain yang memerlukan - sama seperti yang telah dilakukan oleh pemenang Anugerah Penumpang Prihatin kami."

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg