
GIMNASIUM Anytime Fitness di Bukit Timah yang baru-baru ini dikaitkan dengan kelompok Omicron yang disyaki telah diarah tutup selama 10 hari selepas ia tidak memastikan pengguna mematuhi langkah pengurusan selamat (SMM).
Sport Singapore (SportSG) berkata dalam satu kenyataan semalam bahawa gim di Pusat Beli-belah Bukit Timah itu telah diberikan notis komposisi dan diarah tutup selama 10 hari sejak kelmarin (Rabu).
Ia berkata: "SportSG menggesa semua pengendali sukan dan kecergasan serta pelanggan agar terus berwaspada dan mematuhi dengan ketat SMM yang ditetapkan untuk memastikan keselamatan masyarakat.
"Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap perniagaan atau individu yang gagal mematuhi SMM."
Ia menambah bahawa ia akan terus bekerjasama dengan industri sukan dan kecergasan untuk mengembalikan aktiviti sukan dan fizikal dengan cara yang selamat dan bertanggungjawab.
Selasa lalu, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata dua kes Covid-19 yang dikaitkan dengan gim itu didapati positif bagi varian Omicron dalam ujian awal.
Keputusan ujian bagi kes ketiga belum diterima.
Tiga pesakit itu, yang telah divaksin sepenuhnya, mempunyai simptom ringan dan mengunjungi gim tersebut antara Rabu dengan Jumaat lalu.
Jurucakap gim itu berkata tiga kes itu bukan sebahagian daripada kelas yang ia anjurkan dan telah melakukan latihan individu mereka sendiri di gim.
Mereka yang melakukan senaman berat boleh membuka pelitup.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg