Meletakkan kepentingan kolektif dan bukan sekadar individu membentuk jati diri seorang rakyat Singapura.
Ini memandangkan selama 60 tahun, Singapura telah membina sebuah masyarakat majmuk, yang telah menjadi tonggak kekuatan dalam menghadapi dunia yang bergolak dan tidak menentu, kata Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.
Beliau berkongsi demikian ketika ditemui Berita Minggu (BM) selepas Amanat Presiden Tharman Shanmugaratnam pada pembukaan Sidang Parlimen ke-15 pada 5 September.
“Saya paling terkesan apabila kita ingin menitikberatkan satu prinsip bagaimana kita harus mendahulukan kita semua (secara menyeluruh), dan bukan seorang individu saja – kita, bukan saya.
“Dan daripada itu juga, kita menitikberatkan tentang jati diri, iaitu seorang warga negara Singapura.
“60 tahun kita membina masyarakat pelbagai kaum, pelbagai agama.
“Ini menjadi satu tonggak kekuatan kita sebagai satu masyarakat dalam dunia yang bergelora ini dan kita harus bersama-sama berganding bahu untuk maju ke hadapan, mengambil pendekatan yang baru dalam ekonomi yang baru, cabaran yang baru dan mengambil semua cabaran dengan teknologi sedia ada dan sumber manusia yang ada,” jelas Encik Zhulkarnain.
AP lain yang ditemui BM turut berkongsi pandangan serupa dan menekankan kepentingan memupuk sifat keterangkuman, budaya saling memberi, dan sifat belas ihsan untuk mengharungi ketidaktentuan.
Antara lain, AP GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim, melahirkan rasa terkesan terhadap peringatan Tuan Presiden untuk percaya akan masa depan yang lebih cerah, dengan masing-masing berusaha, saling menghormati serta saling membantu.
Di samping itu, Cik Hazlina juga akur dengan nasihat Tuan Presiden yang mengingatkan masyarakat Singapura agar sentiasa menitikberatkan negara ini dan memastikan agar Singapura dan warga negaranya sentiasa diutamakan.
“Kita harus sentiasa menjaga keselamatan dan kewibawaan demi memastikan tempat kita tidak akan pernah pudar di dunia.
“Saya juga rasa penting untuk Singapura memastikan hubungan dalam kalangan jiran kita, pertama sekali di rantau Asean, dan lebih jauh lagi, kerana itulah salah satu kelebihan kita untuk memastikan kita dapat meneruskan hubungan yang berkesan dan bermakna buat Singapura,” ujar Cik Hazlina.
Sependapat dengannya, Dr Syed Harun Alhabsyi, berkata dengan dunia yang bergelora saat ini, adalah penting untuk memupuk sifat terangkum, gotong-royong dan saling mengetahui agar dapat mencapai kemajuan bersama.
Menurutnya, dengan memupuk identiti satu Singapura dan mempereratkan lagi hubungan sesama manusia, tanpa mengira bangsa dan agama, Singapura akan mampu berdepan dengan dunia yang tidak stabil buat masa ini.
“Selain memupuk hubungan erat dengan masyarakat, Tuan Presiden juga mengatakan tentang keinginan memupuk kerjasama dan hubungan antara negara-negara lain, terutama sekali dengan negara Asia Tenggara.
“Dan ini merupakan sifat Singapura untuk terus meraih manfaat daripada kepelbagaian, dan bukan untuk memisahkan kita,” tambah Dr Syed Harun, yang merupakan AP GRC Nee Soon.
Dalam pada itu, AP GRC West Coast-Jurong West, Dr Hamid Razak, yakin meskipun seseorang dilanda cabaran peribadi, sokongan akan diberikan pemimpin masyarakat.
Dr Hamid berkata hanya kerana seseorang dilahirkan dalam persekitaran yang mencabar, cabaran itu tidak menentukan laluan yang diambilnya dalam hidup.
“Apa yang kami lakukan di sini adalah untuk memupuk keyakinan dalam individu bahawa meskipun anda dilahirkan dengan cabaran tersendiri, kami di sini akan memegang tangan anda, melalui perjalanan bersama anda, untuk menjadikan laluannya lebih lancar supaya anda boleh mengejar impian anda,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg