Kasih sayang dan sikap bersungguh-sungguh yang ditunjukkan Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, semasa berkhidmat kepada masyarakat serta kejujurannya untuk mendengar keprihatinan rakyat adalah sesuatu yang dirasai oleh ramai, kata beberapa Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam yang dihubungi Berita Harian (BH).

Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, berkata sifat-sifat tersebut terserlah sepanjang lebih dua dekad Dr Faishal berkhidmat dalam perkhidmatan awam, khususnya sejak beliau dilantik sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam pada 2025.

Dalam satu hantaran di Facebook pada 20 Julai, Dr Syed Harun, berkata:

“Di bawah kepimpinan beliau, saya terkesan menyaksikan masyarakat Melayu/Islam bersatu hati dalam menyokong visi beliau untuk memupuk perpaduan bersama, saling berkeprihatinan dan sikap berkeyakinan akan masa depan.

“Kebersamaannya dengan penduduk dan rakyat, kebaikannya terhadap orang lain, dan sifatnya yang senang didekati jelas kelihatan kepada semua yang menemuinya,” tulis beliau.

Sifat rendah hati, keprihatinan, keikhlasan serta komitmen teguh Dr Faishal terhadap khidmat awam turut dihargai AP GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, yang pernah bekerjasama dengan beliau dalam pelbagai inisiatif bagi memajukan masyarakat Melayu/Islam.

Beliau berkata: “Saya sentiasa menghargai sifat rendah dirinya, keprihatinannya, keikhlasannya, dedikasinya serta komitmennya yang teguh terhadap perkhidmatan awam.

“Sepanjang beliau berkhidmat, beliau telah memberikan sumbangan yang besar kepada masyarakat Melayu/Islam dan juga Singapura, menerajui pelbagai inisiatif penting serta membuka lebih banyak peluang kepada mereka yang beliau memberi khidmat.”

Dua AP itu, antara beberapa AP yang merakamkan penghargaan terhadap jasa dan sumbangan Dr Faishal di media sosial pada 20 Julai, menyusuli pengumuman Pejabat Perdana Menteri (PMO) bahawa Dr Faishal telah meletak jawatan sebagai menteri dan AP.

Dr Faishal, yang turut mengundur diri daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) berbuat demikian berikutan satu ‘kesilapan pertimbangan’ dalam mengendalikan interaksinya dengan seorang wanita secara dalam talian.

Interaksi dalam talian beliau dengan wanita yang tidak dikenal pasti itu tidak berkembang menjadi hubungan fizikal, dan siasatan mendapati beliau tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah.

Namun, Dr Faishal tetap meletak jawatan kerana akur tingkah lakunya tidak memenuhi piawaian seorang penjawat politik sepertinya.

AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, yang menyifatkan peletakan jawatan Dr Faishal itu sebagai sesuatu yang mengejutkan dan menyedihkan, berkata tindakan Dr Faishal mengambil tanggungjawab penuh menunjukkan keberanian dan kejujuran, sambil menggesa masyarakat memberi ruang kepada beliau dan keluarganya untuk menguruskan hal peribadi mereka.

Menurut beliau, rasa kasih dan keikhlasan Dr Faishal terhadap masyarakat tidak akan terpadam, malah akan terus dikenang.

“Dalam keadaan sebegini, mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan meletak jawatan adalah tindakan yang berani dan jujur.

“Sumbangan beliau sepanjang hampir dua dekad berkhidmat, terutamanya sepanjang setahun kebelakangan ini sebagai Pemangku Menteri bagi Ehwal Masyarakat Islam, tidak terhapus begitu sahaja.

“Usaha yang telah dibina untuk mengukuhkan komuniti kita akan terus diteruskan,” ujar beliau.

Sentimen sama turut dikongsi AP GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim, yang merakamkan penghargaan terhadap jasa Dr Faishal sepanjang 2025, khususnya atas usaha gigih beliau mendekati seluruh lapisan masyarakat Singapura.

Sumbangan Dr Faishal turut melangkaui masyarakat Melayu, kata AP GRC West Coast-Jurong West, Dr Hamid Razak.

Beliau berkata: “Sepanjang setahun lalu, saya berpeluang bekerja rapat dengan beliau dalam berkhidmat kepada masyarakat India/Muslim.

“Saya menyaksikan sendiri keikhlasan beliau, gaya kepimpinan yang tenang, serta kepercayaan yang beliau berikan kepada kami yang bersama-sama menggalas tanggungjawab itu.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada banyak usaha yang kami bina bersama, termasuk memperkukuh hubungan antara masjid dengan pertubuhan masyarakat, serta memastikan suara masyarakat didengari di tempat yang sepatutnya.

“Saya berasa sedih melihat beliau melepaskan jawatannya dalam arena politik, dan saya mendoakan agar beliau serta keluarganya dikurniakan kekuatan, ketenangan dan kesejahteraan dalam menempuh hari-hari mendatang.”