ANGGOTA Parlimen (AP) pembangkang Encik Dennis Tan merupakan satu-satunya anggota Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) yang membantah semua dapatan jawatankuasa itu berhubung siasatan ke atas mantan AP, Cik Raeesah Khan, yang didakwa berbohong semasa berucap dalam Dewan.
Namun, Encik Tan, yang juga AP Hougang, tidak memberi ulasan lanjut ketika diminta menjelaskan alasan bagi bantahan tersebut.
Satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Kerani Parlimen semalam menerangkan proses menghasilkan laporan serta dapatan untuk diserahkan kepada Parlimen.
"Dalam memuktamadkan draf Laporan, Pengerusi COP, Speaker Tan Chuan-Jin, dan tujuh anggotanya membincangkan dan mendokumentasikan pandangan mereka.
"Minit Prosiding untuk Mesyuarat Ke-14 menggariskan perenggan khusus di mana anggota menandakan mahu membuat perubahan," kata kenyataan itu.
Minit juga menunjukkan semua perubahan telah dipersetujui oleh anggota.
Pejabat Kerani Parlimen juga menerangkan bahawa COP telah mengadakan pelbagai perbincangan mengenai setiap perenggan khusus yang mereka teliti secara bergilir-gilir.
Bagi pindaan yang dicadangkan dan dipertimbangkan, pandangan setiap anggota telah diminta, termasuk menyatakan alasan mereka untuk bantahan, jika ada.
Selepas semua pindaan telah dipertimbangkan atau disunting dengan sewajarnya, ia telah diterima oleh anggota untuk dimasukkan ke dalam Laporan akhir.
Semua perenggan dalam Bahagian 1 draf Laporan telah diterima pakai oleh COP, kata kenyataan itu.
Namun, selepas semakan COP ke atas setiap perenggan dalam Bahagian 2 draf Laporan, Encik Dennis Tan berkata bahawa beliau membantah semua dapatan itu, mulai perenggan 111 (112) dan seterusnya.
"Encik Tan kemudiannya diundang untuk menyatakan bantahannya (yang diperincikan dalam Perenggan 10 hingga 20 Minit) supaya semua anggota boleh membincangkannya," kata Pejabat Kerani Parlimen.
Selepas COP telah meneliti draf Laporan melalui proses perenggan demi perenggan ini, Encik Tan sekali lagi diundang untuk menyatakan apa-apa perkara lain yang beliau ingin bangkitkan, dan alasan bantahannya terhadapnya.
Namun beliau tidak mempunyai sebarang ulasan lanjut untuk ditawarkan mengenai draf Laporan itu, kata Pejabat Kerani Parlimen.
“
" Minit Prosiding untuk Mesyuarat Ke-14 menggariskan perenggan khusus di mana anggota menandakan mahu membuat perubahan... ...Encik Tan kemudiannya diundang untuk menyatakan bantahannya (yang diperincikan dalam Perenggan 10 hingga 20 Minit) supaya semua anggota boleh membincangkannya." - Pejabat Kerani Parlimen.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg