KEMUDAHAN van jenazah di Masjid Ar-Raudhah sudah tentu mendatangkan kebaikan kepada masyarakat Islam setempat. Lebih-lebih lagi, apabila masjid ini menyediakan perkhidmatan van jenazah percuma
Mantan pengerusi Masjid Ar-Raudhah, Encik Malik Majid, berkata cadangan mengadakan perkhidmatan van jenazah percuma ini sangat membantu masyarakat Islam, khususnya bagi golongan kurang berkemampuan untuk membayar kos penggunaan van tersebut.
Beliau memberitahu: "Semasa saya mengambil alih tugas sebagai pengerusi Masjid Ar-Raudhah pada 2002, saya mencadangkan pelaksanaan perkhidmatan van jenazah yang memiliki ciri-ciri khairat kematian atau Skim Pintar.
"Setakat ini, dua van jenazah percuma sudah diterima hasil daripada Yayasan Lee (Lee Foundation) dan sumbangan usahawan ternama, Allahyarham Dato' Zain Mohd Abdullah.
"Mereka hanya perlu berdaftar dengan menggunakan satu alamat sahaja. Apabila ada kematian, van jenazah akan segera dihantar ke alamat tersebut."
SKIM PINTAR MUDAH DAN BERMANFAAT
Menjelaskan lebih lanjut tentang kaedah Skim Pintar, Eksekutif Kewangan Masjid Ar-Raudhah, Cik Siti Nur Amalina Naimat, berkata skim ini memudahkan para penderma menyumbang, sekali gus memberi manfaat lain kepada mereka.
Beliau menerangkan: "Jemaah boleh melakukan derma bulanan secara tetap kepada Masjid Ar-Raudhah melalui Giro.
"Untuk Skim Pintar ini juga, penderma perlu menyumbang sebanyak $5 sebulan dan untuk Skim Pintar Plus, penderma perlu menyumbang sekurangnya $20 untuk dirinya dan ahli keluarga yang tinggal di satu alamat yang sama.
"Dengan langganan bulanan ini, penderma Skim Pintar bakal menerima pengurusan jenazah Masjid Ar-Raudhah secara percuma. Penderma juga berpeluang mendapat diskaun 20 peratus dari kursus-kursus yang dianjurkan di Masjid Ar-Raudhah.
"Selain itu, diskaun 50 peratus akan diperolehi daripada pengurusan jenazah untuk ibu bapa yang didaftarkan dalam borang keahlian, namun tidak tinggal dalam satu alamat yang sama.
BANTU RINGANKAN BEBAN MASYARAKAT
Tambah Encik Malik lagi, pengurusan van jenazah Masjid Ar-Raudhah bukanlah bertujuan mendapatkan wang, tetapi ia merupakan usaha membantu umat Islam di Singapura untuk menguruskan kewajipan mereka.
Katanya: "Ia merupakan satu tanggungjawab besar bagi Masjid Ar-Raudhah menyelesaikan kekangan ahli keluarga yang berhadapan dengan kematian keluarga. Malah, derma yang dilakukan bukan disalurkan untuk pengurusan van jenazah sahaja, tetapi ia akan dimanfaatkan bagi kegunaan lain masjid, yang pasti mengalirkan saham akhirat anda.
Pengurus Masjid Ar-Raudhah, Cik Maszita Mohammad, juga menyatakan, Skim Pintar ini memberi peluang kepada masyarakat untuk membantu keluarga yang kurang berkemampuan menguruskan jenazah ahli keluarga mereka.
"Skim ini terbuka untuk peringkat dewasa dan warga emas. Mereka yang berminat untuk menyalurkan sumbangan tetap melalui potongan Giro setiap bulan juga, dialu-alukan.
"Masjid juga berada dalam perancangan menyediakan bilik mayat dan tempat mandi untuk urusan memandikan, mengkafankan dan solat jenazah.
"Ia akan memudahkan proses pengalihan jenazah apabila meninggal di hospital. Di masjid pula, ada ruangan menunggu untuk mereka yang melawat jenazah. Teruskan menyumbang agar Masjid Ar-Raudhah dapat menjalankan khidmatnya kepada masyarakat Islam."
APA ANDA PERLU TAHU TENTANG SKIM PINTAR
"Dengan langganan bulanan ini, penderma Skim Pintar bakal menerima pengurusan jenazah Masjid Ar-Raudhah secara percuma. Penderma juga berpeluang mendapat diskaun 20 peratus dari kursus-kursus yang dianjurkan di Masjid Ar-Raudhah.
Selain itu, diskaun 50 peratus akan diperolehi daripada pengurusan jenazah untuk ibu bapa yang didaftarkan dalam borang keahlian, namun tidak tinggal dalam satu alamat yang sama.'' - Eksekutif Kewangan Masjid Ar-Raudhah, Cik Siti Nur Amalina Naimat.
CARA MENYUMBANG PADA MASJID MASJID AR-RAUDHAH
Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.
Alamat: Masjid Ar-Raudhah, 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg