Topik diikuti
Pergi ke BHkuApabila kehilangan bahasa ibunda tidak lagi terasa sebagai suatu kehilangan
Kehilangan bahasa tidak semestinya bererti kehilangan jati diri; generasi masa depan akan sesuaikan diri, bentuk jati diri baharu
Apabila kehilangan bahasa ibunda tidak lagi terasa sebagai suatu kehilangan
Awal tahun ini, Dear You, sebuah filem China yang meraih sambutan besar dan hampir keseluruhannya menggunakan bahasa Teochew, mencetuskan perdebatan apabila versi yang ditayangkan secara umum di Singapura dialih suara ke bahasa Mandarin, sementara versi asal dalam bahasa Teochew hanya mendapat tayangan terhad pada peringkat awal.
Sambutan hangat terhadap tayangan tersebut cukup memberi makna.
Bahasa Teochew, yang suatu ketika dahulu menjadi bahasa harian ramai masyarakat Cina Singapura, semakin terpinggir daripada kehidupan seharian.
Di seberang Tambak, timbul pula keresahan yang berbeza tetapi berkaitan.
Baru-baru ini, saya mendengar wawancara bersama Profesor Ramalingam dalam sebuah podcast Malaysia, seorang rakyat Malaysia berketurunan Tamil yang dilahirkan dan dibesarkan di Negeri Sembilan, dan yang begitu fasih menggunakan bahasa Tamil, dialek Negeri Sembilan dan bahasa Melayu standard.
Perbualan itu menyentuh kebimbangan bahawa bahasa Melayu semakin kehilangan tempatnya, walaupun dalam kalangan orang Melayu di Malaysia – suatu peralihan yang telah dialami oleh orang Melayu Singapura jauh lebih awal dan pada tahap yang jauh lebih ketara.
Ramai anak muda Melayu Singapura kini lebih selesa bertutur dalam bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu dalam kehidupan seharian.
Bagi sesetengah daripada mereka, bahasa Melayu masih merupakan bahasa yang mampu mereka tuturkan.
Namun, bahasa Melayu mungkin bukan lagi bahasa yang secara spontan mereka pilih untuk digunakan.
Bagi kita yang masih menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa harian, perubahan ini cukup terasa.
Ada rasa kehilangan apabila kita bertemu anak muda Melayu yang kurang selesa bertutur dalam bahasa Melayu – malah ada yang sukar meneruskan perbualan dalam bahasa itu.
Namun, di sinilah persoalannya: rasa kehilangan itu tidak semestinya dikongsi bersama.
Jika seseorang anak muda membesar dengan bahasa Inggeris, menggunakannya untuk menjalin persahabatan, membaca, belajar, bergurau, berhujah dan meluahkan fikiran dan isi hatinya, maka tidak menghairankan jika bahasa Inggeris dirasakan sebagai bahasanya sendiri.
Bahasa Melayu pula, meskipun secara rasmi ditetapkan sebagai bahasa ibunda, mungkin lebih dirasakan sebagai bahasa kedua.
Jika itulah realiti bahasa seseorang, mengapakah berkurangnya penggunaan bahasa Melayu semestinya dirasakan sebagai suatu kehilangan?
Bangsa tidak lenyap bersama bahasanya
Di sinilah timbul satu persoalan lain tentang hubungan antara bahasa dengan jati diri.
Ungkapan hilang bahasa, hilang bangsa sering kita dengar.
Namun, jika ungkapan ini membawa maksud bahawa kehilangan bahasa warisan bererti kehilangan jati diri, sejarah menunjukkan sebaliknya.
Sesebuah masyarakat boleh kehilangan bahasa warisannya tetapi tetap terus wujud, seperti yang dapat kita lihat dalam kalangan keturunan orang Afrika yang diperhambakan di benua Amerika dan, lebih dekat dengan kita, masyarakat Melayu di Afrika Selatan.
Masyarakat seperti ini masih boleh memiliki jati diri etnik yang kukuh, membina budaya yang kaya, berbangga dengan siapa diri mereka serta maju dari segi sosial dan ekonomi.
Kehilangan bahasa tidak semestinya bererti kehilangan jati diri.
Begitu juga, orang Melayu Singapura tidak akan tiba-tiba berhenti menjadi Melayu sekiranya suatu hari nanti kebanyakan mereka tidak lagi menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama.
Tetapi bukan itu sebenarnya persoalannya.
Persoalan yang lebih penting ialah: Apakah bentuk jati diri Melayu yang akan kekal apabila bahasa Melayu tidak lagi dianggap sebagai bahasa sendiri oleh kebanyakan orang Melayu?
Bahasa bukan sekadar alat untuk berkomunikasi.
Melalui tatabahasa dan pilihan katanya, bahasa membawa ingatan, humor, nilai, rujukan budaya dan cara kita berhubungan dengan orang lain.
Bahasa memberikan kita cara tertentu untuk menamakan, menggolongkan dan memahami pengalaman.
Misalnya, bahasa Melayu menawarkan pelbagai cara untuk merujuk kepada ‘I’ dan ‘you’ – atau langsung mengelakkan kata ganti nama ini dengan menggunakan nama sendiri, istilah kekerabatan seperti abang dan kakak, atau gelaran seperti Cikgu dan Doktor.
Pilihan ini lebih menyerlahkan hubungan antara penutur, kedudukan masing-masing dan jarak sosial berbanding dalam bahasa Inggeris.
Malah, ungkapan harian juga boleh membingkai pengalaman secara berbeza.
Dalam bahasa Inggeris, kita diminta untuk ‘pay attention’ – secara harfiah, ‘membayar perhatian’ – sedangkan dalam bahasa Melayu kita memberi perhatian, dengan kata perhatian itu sendiri mempunyai hubungan sejarah dengan hati.
Dan jika bahasa Inggeris mempunyai kata ‘child’, bahasa Melayu bukan sahaja mempunyai anak, tetapi juga ungkapan cahaya mata, yang menggambarkan betapa berharganya seorang anak.
Oleh itu, apabila kita beralih bahasa, kita tidak menjadi manusia tanpa pandangan dunia.
Kita tetap melihat dan mentafsir dunia – tetapi semakin lama semakin melalui lensa budaya yang dibawa oleh bahasa yang telah kita angkat sebagai bahasa sendiri.
Dalam konteks inilah ungkapan bahasa jiwa bangsa wajar kita renungkan semula.
Namun, ‘bahasa’ dalam ungkapan itu tidak semestinya bahasa warisan seseorang.
Ia ialah bahasa yang benar-benar dihayati dan dianggap oleh sesebuah masyarakat sebagai bahasanya sendiri.
Kemungkinan yang kurang menyenangkan ialah, bagi semakin ramai rakyat Singapura, bahasa itu kini ialah bahasa Inggeris.
Kedwibahasaan Singapura
Hal ini membawa kita kepada persoalan yang lebih besar tentang kedwibahasaan Singapura.
Dasar dwibahasa kita telah mencapai sesuatu yang membanggakan.
Bahasa Inggeris telah memberikan rakyat Singapura bahasa bersama merentas batas etnik dan menghubungkan generasi rakyat Singapura dengan pendidikan, perdagangan antarabangsa, sains dan dunia yang lebih luas.
Persoalannya bukan sama ada kita harus berundur daripada bahasa Inggeris.
Tidak.
Perbincangan ini juga tidak seharusnya menjadi satu lagi keluhan tentang anak muda yang gagal menghargai warisan mereka.
Mereka sebenarnya bertindak balas terhadap persekitaran bahasa yang kita sendiri telah bentuk untuk mereka.
Sebaliknya, persoalannya ialah sama ada kedwibahasaan yang kita amalkan hari ini masih menghasilkan masyarakat dwibahasa seperti yang kita hasratkan.
Jika bahasa Inggeris semakin luas penggunaannya – di sekolah, tempat kerja, dalam pergaulan, hiburan, pembacaan, malah di rumah – sedangkan ruang untuk bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil dalam kehidupan seharian semakin mengecil, kita mungkin akan terus melahirkan rakyat Singapura yang secara teknikalnya dwibahasa.
Namun, kedwibahasaan yang terhasil mempunyai sifat yang sangat berbeza.
Satu bahasa dihayati.
Yang satu lagi dipelajari.
Satu bahasa menjadi sebati dengan kehidupan harian.
Yang satu lagi pula mungkin sekadar digunakan dalam pelajaran dan peperiksaan, acara kebudayaan atau ketika berkomunikasi dengan generasi yang lebih tua.
Ini jauh berbeza daripada kedwibahasaan yang membolehkan seseorang hidup dengan kedua-dua bahasanya – menggunakan setiap bahasa dalam keadaan dan untuk tujuan yang mungkin berbeza, tetapi kedua-duanya tetap menjadi sebahagian daripada kehidupannya.
Tiba masa untuk nilai semula
Corak penggunaan bahasa di Singapura hari ini sudah jauh berubah sejak dasar dwibahasa kita dibentuk.
Bahasa Inggeris bukan lagi sekadar bahasa kerja bersama yang digunakan rakyat Singapura di samping bahasa ibunda masing-masing.
Dalam banyak keluarga, bahasa Inggeris turut menjadi bahasa di rumah dan menjadi bahasa antara suami isteri, adik-beradik, ibu bapa dan anak-anak.
Bagi semakin ramai kanak-kanak, bahasa Inggerislah bahasa pertama yang mereka gunakan untuk mengenali dan memahami dunia.
Perubahan ini tidak semestinya sesuatu yang salah.
Bahasa berubah, masyarakat berubah dan jati diri juga berubah.
Namun, dasar awam juga perlu mengambil kira makna dan kesan perubahan ini.
Mungkin sudah tiba masanya untuk kita menilai semula model kedwibahasaan kita – bukan kerana model itu telah gagal, tetapi kerana keadaan bahasa di Singapura sudah banyak berubah.
Kita perlu bertanya sama ada bahasa ibunda kita diberi ruang yang mencukupi untuk benar-benar digunakan dalam kehidupan, dan bukan sekadar dipelajari.
Kita juga perlu bertanya sama ada sekolah dan masyarakat dapat membuka lebih banyak ruang untuk bahasa-bahasa ini digunakan dalam kegiatan intelektual, sosial dan budaya.
Yang paling penting, kita perlu bertanya apakah sebenarnya makna kedwibahasaan yang kita inginkan untuk generasi akan datang.
Adakah memadai jika rakyat Singapura sekadar mempelajari Bahasa Ibunda di sekolah, tetapi kurang mampu menggunakannya dengan baik dalam kehidupan seharian?
Atau adakah kita mahu bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil kekal sebagai bahasa yang membolehkan rakyat Singapura membina hubungan, mendekati gagasan, menikmati sastera dan budaya popular, memahami generasi terdahulu serta mengalami sebahagian daripada dunia budaya yang dibawa oleh bahasa tersebut?
Persoalan ini bukan untuk sekolah sahaja.
Keluarga, pertubuhan masyarakat, institusi budaya, media dan para penutur bahasa itu sendiri semuanya mempunyai peranan.
Mungkin akan tiba suatu ketika apabila peralihan kepada bahasa lain sudah begitu jauh sehingga sukar untuk berpatah balik.
Namun, mungkin ada satu tahap yang lebih membimbangkan dan berlaku lebih awal: apabila sesebuah masyarakat tidak lagi menganggap peralihan itu sebagai suatu kehilangan.
Mereka yang masih menggunakan dan menghayati bahasa warisan dalam kehidupan seharian mungkin dapat merasakan apa yang semakin hilang.
Sebaliknya, mereka yang sudah selesa menggunakan bahasa lain mungkin tidak merasakan kehilangan yang sama.
Bagi mereka, mungkin tiada apa-apa yang terasa telah hilang.
Mungkin pada saat itulah kita sebenarnya perlu memberikan perhatian.
Walaupun generasi akan datang lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris, Singapura akan terus wujud sebagai sebuah masyarakat, begitu juga masyarakat Cina, Melayu dan India dengan jati diri masing-masing.
Kita akan menyesuaikan diri, membentuk jati diri baharu dan menemukan cara baharu untuk memahami siapa diri kita.
Persoalannya bukan sama ada kita boleh menyesuaikan diri dengan perubahan seperti itu.
Sudah tentu kita boleh.
Persoalannya ialah sama ada keadaan seperti inilah yang kita mahu lahir daripada dasar dwibahasa kita – dan, selagi kita masih mempunyai pilihan, adakah itu arah yang kita mahu tuju.
Penulis ialah Ketua dan Profesor Madya di Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Asia, Institut Pendidikan Nasional (NIE). Pandangan yang dikemukakan dalam rencana ini ialah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan NIE.
“
“Bagi semakin ramai kanak-kanak, bahasa Inggerislah bahasa pertama yang mereka gunakan untuk mengenali dan memahami dunia. Perubahan ini tidak semestinya sesuatu yang salah. Bahasa berubah, masyarakat berubah dan jati diri juga berubah. Namun, dasar awam juga perlu mengambil kira makna dan kesan perubahan ini. Mungkin sudah tiba masanya untuk kita menilai semula model kedwibahasaan kita – bukan kerana model itu telah gagal, tetapi kerana keadaan bahasa di Singapura sudah banyak berubah.”