Kemudahan Pengiraan dan Pengisihan di bawah Skim Pemulangan Bekas Minuman (BCRS) telah dibuka secara rasmi pada 21 September.

Beroperasi sejak Ogos, kemudahan di Tuas itu menerima tin dan botol dari mesin layan diri berbalik (RVM), Return Right, yang disediakan di serata Singapura.

Di bawah skim yang diterajui Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) itu, pengguna perlu membayar deposit 10 sen untuk membeli minuman dalam botol dan tin yang mempunyai isi padu antara 150 mililiter dengan 3 liter.

Pelanggan boleh mendapatkan deposit mereka semula dengan memulangkan bekas minuman kosong yang mempunyai Tanda Deposit di mesin Return Right.

Bayaran balik itu boleh dikreditkan ke kad EZ-link atau dompet DBS PayLah! mereka.

Ramai sudah jelas dan tahu mengenai proses pemulangan bekas minuman tersebut, namun apakah yang sebenarnya berlaku selepas botol dan tin minuman dikembalikan?

Berikut proses perjalanan kitar semula bekas minuman terpakai ini.

1. KUMPUL DAN ANGKUT

Bekas minuman dan tin kosong dikumpul dari kira-kira 1,300 mesin layan diri berkenaan sebelum diangkut ke Kemudahan Pengiraan dan Pengisihan. 

Setiap hari, lebih 1,200 beg bekas minuman dihantar ke kemudahan berkenaan.

Sebuah kenderaan sedang memunggah beg-beg yang mengandungi bekas minuman di Kemudahan Pengiraan dan Pengisihan di Tuas.
Sebuah kenderaan sedang memunggah beg-beg yang mengandungi bekas minuman di Kemudahan Pengiraan dan Pengisihan di Tuas. - Foto ST

2. ROBOT KOSONGKAN BEG

Kamera di bahagian atas yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) mengenal pasti dan mengira beg mengikut warna – dengan setiap warna menandakan kawasan asal mesin layan diri tersebut. 

Lengan robot kemudian akan mengambil beg, membukanya dan mengosongkan kandungannya ke dalam ruang penyimpanan yang dikenali sebagai screw bunker. 

Lengan robot di kemudahan Skim Pemulangan Bekas Minuman (BCRS) di Tuas meletakkan botol dan tin yang telah dimampatkan ke dalam ruang penyimpanan lasak (heavy duty), bagi memulakan proses pengisihan.
Lengan robot di kemudahan Skim Pemulangan Bekas Minuman (BCRS) di Tuas meletakkan botol dan tin yang telah dimampatkan ke dalam ruang penyimpanan lasak (heavy duty), bagi memulakan proses pengisihan. - Foto ST

Beg-beg plastik yang digunakan itu turut dikitar semula.

3. PENGALIRAN CECAIR BERLEBIHAN

Bekas-bekas minuman berkenaan terus dimampatkan di dalam screw bunker. 

Baki cecair dalam bekas minuman akan dikumpul di bahagian bawah dan dialirkan keluar melalui satu saluran khas bagi mengurangkan risiko pencemaran.

4. PENGASINGAN TIN KELULI

Satu mesin pemisah magnetik kemudian digunakan untuk mengasingkan tin keluli (steel cans) daripada bekas-bekas tersebut.

Mesin pemisah magnetik digunakan untuk mengasingkan tin keluli daripada bekas lain yang bercampur, seperti plastik dan aluminium.
Mesin pemisah magnetik digunakan untuk mengasingkan tin keluli daripada bekas lain yang bercampur, seperti plastik dan aluminium. - Foto ST

5. PENGANGKUTAN BEKAS MENERUSI SISTEM SALURAN UDARA

Baki botol plastik dan tin aluminium kemudian melalui saluran paip ke dram pengasing dan pemisah angin yang berfungsi untuk menanggalkan label di bekas-bekas tersebut. 

Kemudian, dram pengasing yang berputar itu menapis keluar penutup dan gelang botol. 

Sistem pengangkutan berkuasa udara membawa bekas-bekas minuman menerusi saluran paip tertutup.
Sistem pengangkutan berkuasa udara membawa bekas-bekas minuman menerusi saluran paip tertutup. - Foto ST

Penggunaan paip bagi menggantikan saluran penyampai atau conveyor belt bukan sahaja dapat menjimatkan ruang kemudahan tersebut, malah membantu mengawal bau serta mengehadkan penyebaran zarah halus.

6. PENGASINGAN TIN ALUMINIUM

Baki tin aluminium bukan besi semberani diasingkan daripada botol plastik menggunakan mesin berarus pusar (eddy currents) bagi mewujudkan sifat besi semberani sementara pada logam tersebut. 

Tin aluminium yang dikumpul itu seterusnya dimampatkan menjadi blok-blok padat sebelum dijual kepada syarikat kitar semula.

Tin aluminium yang terkumpul dimampatkan menjadi blok-blok padat sebelum dijual kepada syarikat kitar semula.
Tin aluminium yang terkumpul dimampatkan menjadi blok-blok padat sebelum dijual kepada syarikat kitar semula. - Foto ST

7. PENGISIHAN PLASTIK

Sistem ini mengisih empat jenis bekas plastik, termasuk polietilena tereftalat (PET), PET berwarna, dan polietilena ketumpatan tinggi (HDPE) yang lazimnya digunakan bagi bekas susu dan jus.

Sinar inframerah digunakan untuk ‘membaca’ bekas plastik bagi mengenal pasti dan menentukan jenis bahannya.

Jet udara dengan tekanan tinggi kemudian ‘menembak’ setiap botol ke dalam tong yang telah ditetapkan.

Bekas-bekas yang telah diasingkan itu seterusnya dimampatkan menjadi blok-blok padat sebelum dihantar kepada syarikat kitar semula.

Menurut laporan The Straits Times (ST), sejak pelancaran BCRS pada 1 April hingga awal Ogos, sebanyak 5.5 juta bekas minuman telah dipulangkan menerusi mesin layan diri di serata negara. 

Antara Ogos dengan 13 September pula, kemudahan berkuasa tenaga suria yang dikendalikan syarikat pengumpul sisa Cora Environment, bersama pengendali skim BCRS Ltd telah mengumpul sekitar 27.5 juta botol dan tin terpakai – lima kali ganda berbanding sebelum ini.

Sasaran bagi tahun pertama BCRS adalah untuk mencapai kadar pemulangan 60 peratus botol dan tin bagi tujuan kitar semula, sebelum ditingkatkan kepada 80 peratus dalam tempoh tiga tahun.

Skim itu diperkenalkan bagi membantu meningkatkan kadar kitar semula isi rumah di Singapura, yang berada pada paras terendah dalam sejarah iaitu 11 peratus pada 2024 dan 2025.