Apartmen disepadu dengan khidmat warga emas diperluas jika sambutan baik
Apartmen disepadu dengan khidmat warga emas diperluas jika sambutan baik
TAWARAN jenis perumahan baru yang disepadukan dengan perkhidmatan bagi warga senja akan diperluas ke kawasan lain jika ia mendapat sambutan baik daripada masyarakat.
Oleh kerana ia satu konsep perumahan baru, program perintis Apartmen Penjagaan Masyarakat itu, yang bakal dilancarkan bulan ini, akan dinilai sebelum sebarang rancangan jangka panjang ditetapkan, kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee.
Beliau memberikan responsnya di Parlimen semalam kepada Cik Ng Ling Ling (Ang Mo Kio) yang bertanyakan apakah inisiatif itu akan diperluas ke kawasan lain di Singapura jika terdapat permintaan tinggi.
Apartmen Penjagaan Masyarakat pertama di Singapura itu akan dibina di Bukit Batok West Avenue 9.
Ia merangkumi 160 unit apartmen dan dijangka siap menjelang 2024.
"Kami ada rancangan mewujudkan Apartmen Penjagaan Masyarakat di tapak lain jika sambutan dan respons anggota masyarakat awam terhadap projek perintis di Bukit Batok menggalakkan.
"Ini merupakan konsep perumahan baru, untuk itu kami akan menilai sebelum mewujudkan rancangan jangka panjang," katanya.
Encik Lee berkata Kementerian Pembangunan Negara (MND) tidak mempunyai data berkaitan warga Singapura yang layak memohon apartmen tersebut kerana ia memerlukan akses terhadap maklumat pendapatan mereka.
Beliau menambah permintaan bagi apartmen itu juga tertakluk pada kemampuan dan keperluan penjagaan.
Apartmen Penjagaan Masyarakat itu hasil kerjasama antara Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), MND dan Kementerian Kesihatan (MOH) dan menyepadukan perumahan mesra warga emas dengan perkhidmatan penjagaan yang dapat ditingkatkan mengikut keperluan penjagaan serta kegiatan sosial bagi menyokong warga emas menua secara berdikari dalam masyarakat.
Apartmen seluas 34 meter persegi itu disasarkan kepada warga senja berusia 65 tahun ke atas dan dianggarkan berharga $62,000 bagi tempoh pajakan 15 tahun.
Jumlah itu terdiri daripada harga flat sebanyak $40,000 dan pakej perkhidmatan asas berjumlah $22,000.
Pakej perkhidmatan asas itu termasuk bantuan pengurus masyarakat yang akan memastikan perkhidmatan seperti pemeriksaan kesihatan asas dan bantuan kecemasan 24-jam tersedia bagi penduduk.
Dalam pertanyaan tambahannya, Cik Ng bertanya apakah permohonan bagi apartmen itu akan dibuka kepada mereka yang tidak memenuhi kriteria umur tetapi perlu menjaga ibu bapa mereka atau terdiri daripada golongan kurang upaya.
Encik Lee menjawab jika permintaan seperti itu diterima, pertimbangan akan dilakukan berdasarkan kes yang membolehkan mereka membuat permohonan tersebut.
Namun, kementerian itu ingin membuat penilaian berdasarkan kumpulan yang disasarkan dahulu, iaitu warga senja.

