Topik diikuti
Pergi ke BHkuAplikasi baharu GovTech-Google DeepMind kesan potensi penipuan melalui analisis mesej
Aplikasi baharu GovTech-Google DeepMind kesan potensi penipuan melalui analisis mesej
Satu aplikasi baharu telah dilancarkan bagi membantu pengguna mengesan potensi penipuan dengan menganalisis dan mengeluarkan tanda amaran ke atas perbualan mencurigakan, termasuk mesej melibatkan nombor yang belum pernah dilaporkan sebelum ini.
Aplikasi AntiScam Pango, menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menganalisis mesej dan mengesan perbualan yang mencurigakan secara langsung.
Dibangunkan secara bersama oleh Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) Singapura dan syarikat Google DeepMind dari London, aplikasi berkenaan diperkenalkan pada 4 November oleh Pemangku Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Jasmin Lau, di Persidangan STACK 2026 anjuran GovTech yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands.
Berita mengenai pembangunan model pengesanan penipuan langsung dalam peranti ini kali pertama diumumkan pada Oktober di sisi acara Minggu Siber Antarabangsa Singapura (SICW).
“Ia memeriksa mesej di WhatsApp, Telegram serta SMS (khidmat pesanan ringkas), memberi tanda kepada mesej yang kelihatan mencurigakan, dan memberi amaran kepada anda secara langsung sebelum anda mengambil tindakan lanjut,” kata Cik Lau yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi GovTech.
“Analisis berkenaan dijalankan pada telefon anda sendiri, supaya mesej anda kekal terlindung,” jelas Cik Lau.
Sebagai permulaan, pengguna Android boleh memuat turun versi beta aplikasi ini daripada Google Play Store.
Sebaik sahaja pengguna memberikan kebenaran yang diperlukan, AntiScam Pango, akan beroperasi di latar belakang peranti.
Apabila AntiScam Pango mengeluarkan tanda amaran terhadap perbualan yang mencurigakan, ia akan menerangkan petanda yang menunjukkan bahawa mesej berkenaan berkemungkinan satu penipuan.
Pendekatan ini bertujuan membantu pengguna mengenal pasti taktik kejuruteraan sosial – kaedah yang digunakan penipu untuk memperdaya mangsa agar mempercayai mereka, sebelum mengambil tindakan yang boleh mendedahkan mereka kepada kehilangan wang atau kecurian maklumat peribadi.
Pengguna boleh membuat keputusan sama ada mahu meneruskan perbualan, melaporkannya atau mengambil langkah berhati-hati, seperti mengesahkan sendiri identiti penghantar mesej.
Aplikasi ini tidak menyekat atau memadam mesej secara automatik.
Kandungan mesej juga tidak dihantar ke external server (pelayan luaran) melainkan pengguna memilih untuk membuat laporan, jelas GovTech.
Agensi itu mahupun rakan kerjasamanya tidak mempunyai akses kepada maklumat atau mesej peribadi pengguna menerusi aplikasi berkenaan, tambahnya.
Model AI AntiScam Pango dilatih menggunakan corak serta senario penipuan bagi mengenal pasti taktik manipulasi dan ciri-ciri lazim ditemui dalam skim penipuan yang menyasarkan penduduk setempat.
Data latihannya diperoleh daripada ScamShield – yang dibangunkan oleh unit Produk Pemerintah Terbuka (OGP) GovTech, polis dan Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC) – serta alat pengelas (classifier) dalaman berkuasa AI yang menilai pautan web mencurigakan.
“Melalui AntiScam Pango, kami mahu menonjolkan kepada orang ramai bahawa mereka tidak perlu memilih antara perlindungan daripada penipuan dengan menjaga privasi mesej peribadi,” kata Pengarah Amanah dan Keselamatan GovTech, Encik Mark Chen.
“Kerjasama kami dengan Google DeepMind ini melangkaui batas keupayaan model AI bersaiz kecil untuk menawarkan kedua-dua manfaat tersebut,” tambahnya.
AntiScam Pango melengkapkan perlindungan sedia ada yang ditawar ScamShield, yang membantu pengguna menyekat panggilan penipuan, menapis SMS mencurigakan, serta memeriksa atau melaporkan mesej, nombor telefon dan pautan yang disyaki melibatkan penipuan.