Pengguna HealthHub kini bukan sahaja boleh menggunakan aplikasi tersebut untuk menempah janji temu di mana-mana 28 poliklinik Singapura di bawah ketiga-tiga kelompok jagaan kesihatan awam, malah dapat melihat poliklinik mana yang slot janji temunya sudah penuh atau masih tersedia.

Sistem ‘lampu isyarat’ baharu dalam aplikasi itu akan memaparkan tahap kesibukan setiap poliklinik – warna hijau menandakan slot masih tersedia, kuning jingga menunjukkan bilangan slot terhad dan merah menandakan slot janji temu sudah penuh.

Bertujuan memudahkan pesakit mendapatkan slot yang tersedia semasa waktu sibuk, ciri itu tersedia mulai 10 malam untuk temu janji pada keesokan harinya – khusus untuk pesakit yang mengalami gejala seperti demam, batuk, dan sakit tekak.

Ini merupakan antara pelbagai ciri baharu yang tersedia dalam aplikasi HealthHub dipertingkat, yang dilancarkan secara rasmi pada 25 November dalam satu acara di Hospital Besar Ng Teng Fong, yang dihadiri Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.

Penambahbaikan tersebut merangkumi empat bidang utama – selain menempah slot poliklinik, ia juga akan memudahkan urusan pembelian semula bekalan ubat dan pembayaran bil, serta membantu pengguna mendapatkan gambaran keseluruhan mengenai maklumat kesihatan mereka.

HealthHub kali pertama diperkenalkan pada 2015 sebagai portal maklumat dan perkhidmatan kesihatan dalam talian sehenti bagi penduduk Singapura.

Aplikasi yang diperbaharui itu menyatukan ciri-ciri daripada aplikasi sedia ada ketiga-tiga kelompok jagaan kesihatan awam Singapura – NHG Health, Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) dan SingHealth.

Aplikasi berasingan itu akan ditamatkan penggunaannya secara berperingkat menjelang Februari 2027.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Aplikasi HealthHub yang dipertingkat itu bertujuan menjadi “akses utama digital yang mudah digunakan dan mesra pengguna” bagi perkhidmatan jagaan kesihatan awam, kata Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial.

Sebelum ini, bil bagi setiap kelompok jagaan kesihatan perlu dilunaskan secara berasingan, dengan pengguna perlu memasukkan butiran mereka setiap kali mereka membuat pembayaran dan kaedah bayaran pula terhad kepada kad kredit atau Nets.

Sebagai sebahagian penambahbaikannya, HealthHub kini membolehkan pengguna menyimpan butiran mereka dan menawarkan pilihan kaedah pembayaran yang lebih luas – termasuk pemindahan dana menerusi PayNow serta dompet digital Apple Pay dan Google Pay.

Selain itu, ia membolehkan pengguna membayar beberapa bil merentasi institusi jagaan kesihatan awam hanya dalam satu transaksi.

Aplikasi itu kini turut membolehkan pengguna menyatakan pilihan supaya penghantaran bekalan ubat tambahan diletakkan di depan pintu rumah mereka.

Pilihan ini tidak merangkumi ubat-ubatan yang perlu disimpan sejuk, yang tetap memerlukan seseorang hadir untuk menerima penghantaran tersebut.

Ciri-ciri baharu lain termasuk menawarkan pengguna akses kepada maklumat kesihatan peribadi, seperti trend paras kolesterol, tekanan darah dan berat badan mereka, selain membolehkan mereka memuat turun dokumen serta sijil perubatan (MC) digital.

Ciri ini kini tersedia bagi institusi di bawah NHG Health dan NUHS, dan akan diperluas kepada SingHealth apabila kelompok itu menyertai platform rekod perubatan elektronik generasi baharu negara.

Penambahbaikan tersebut dilaksanakan pada 22 November, dan setakat itu, lebih 200,000 orang telah menggunakan aplikasi yang dipertingkat tersebut.

Bagi menyokong peralihan kepada aplikasi yang dipertingkat itu, warga emas dan golongan yang kurang mahir dari segi digital boleh mendapatkan bantuan melalui talian bantuan HealthHub serta khidmat bimbingan secara terus oleh kakitangan di poliklinik dan hospital.