Pengguna aplikasi HealthHub kini boleh menyemak kekosongan slot di kesemua 28 poliklinik awam Singapura sebelum membuat janji temu.

Kemas kini itu membolehkan mereka melihat poliklinik di bawah ketiga-tiga kelompok jagaan kesihatan awam – NHG Health, Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) dan SingHealth – yang masih mempunyai kekosongan atau sudah penuh.

Sistem ‘lampu isyarat’ baharu dalam aplikasi itu akan memaparkan tahap kesibukan setiap poliklinik – warna hijau menandakan slot masih tersedia, kuning jingga menunjukkan bilangan slot terhad dan merah menandakan slot janji temu sudah penuh.

Bertujuan memudahkan pesakit mendapatkan slot semasa waktu sibuk, ciri itu tersedia mulai 10 malam untuk janji temu pada keesokan hari – untuk pesakit yang mengalami gejala seperti demam, batuk, dan sakit tekak.

Ini merupakan antara pelbagai ciri baharu yang tersedia dalam aplikasi HealthHub yang dipertingkat.

Ia dirasmikan pada 25 November dalam satu acara di Hospital Besar Ng Teng Fong, yang dihadiri Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.

Penambahbaikan tersebut merangkumi empat bidang utama.

Selain menempah slot poliklinik, ia juga akan memudahkan urusan pembelian semula bekalan ubat dan pembayaran bil, serta membantu pengguna mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai maklumat kesihatan mereka.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

HealthHub kali pertama diperkenalkan pada 2015 sebagai portal maklumat dan perkhidmatan kesihatan dalam talian sehenti bagi penduduk Singapura.

Aplikasi yang diperbaharui itu menyatukan ciri-ciri daripada aplikasi sedia ada ketiga-tiga kelompok jagaan kesihatan awam Singapura – NHG Health, Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) dan SingHealth.

Aplikasi berasingan itu akan ditamatkan penggunaannya secara berperingkat menjelang Februari 2027.

Aplikasi HealthHub yang dipertingkat itu bertujuan menjadi “akses utama digital yang lebih mudah digunakan dan mesra pengguna” bagi perkhidmatan jagaan kesihatan awam, kata Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial.

Sebelum ini, bil bagi setiap kelompok jagaan kesihatan perlu dilunaskan secara berasingan, dengan pengguna perlu memasukkan butiran mereka setiap kali mereka membuat pembayaran. \

Kaedah bayaran pula terhad kepada kad kredit atau Nets.

Sebagai sebahagian penambahbaikannya, HealthHub kini membolehkan pengguna menyimpan butiran mereka, selain menawarkan pilihan kaedah pembayaran yang lebih luas – termasuk pemindahan dana menerusi PayNow serta dompet digital Apple Pay dan Google Pay.

Selain itu, ia membolehkan pengguna membayar beberapa bil merentasi institusi jagaan kesihatan awam hanya dalam satu urus niaga.

Aplikasi itu kini turut membolehkan pengguna menyatakan pilihan supaya penghantaran bekalan ubat tambahan diletakkan di depan pintu rumah mereka.

Pilihan ini tidak merangkumi ubat-ubatan yang perlu disimpan sejuk, yang tetap memerlukan seseorang hadir untuk menerima penghantaran tersebut.

Ciri-ciri baharu lain termasuk menawarkan kepada pengguna, akses kepada maklumat kesihatan peribadi, seperti trend paras kolesterol, tekanan darah dan berat badan mereka, selain membolehkan mereka memuat turun dokumen serta sijil perubatan (MC) digital.

Ciri ini kini tersedia bagi institusi di bawah NHG Health dan NUHS, dan akan diperluas kepada SingHealth apabila kelompok itu menyertai platform rekod perubatan elektronik generasi baharu negara.

Penambahbaikan tersebut dilaksanakan pada 22 November, dan setakat itu, lebih 200,000 orang telah menggunakan aplikasi yang dipertingkat tersebut.

Bagi menyokong peralihan kepada aplikasi yang dipertingkat itu, warga emas dan golongan yang kurang mahir dari segi digital boleh mendapatkan bantuan melalui talian bantuan HealthHub serta khidmat bimbingan secara terus oleh kakitangan di poliklinik dan hospital.